» » Fakta berkaitan Khairuddin dan Matthias Chang dalam pembongkaran skandal 1MDB Najib Razak


1. Apakah usaha mendedahkan kemungkaran dan mencari kebenaran mengenai 1MBD dan penglibatan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara?

2. Bukankah Khairuddin terlebih dulu membuat aduan terhadap 1MDB dan Najib kepada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan kepada Bank Negara Malaysia (BNM)?

Berkenaan PDRM, saya sengaja menyebut nama penuhnya kerana saya ingin tahu sama ada ia masih taat dan setia kepada Raja atau itu hanya pada nama saja.

3. Yang mana lebih berunsur “sabotaj” terhadap sistem perbankan dan kewangan negara – membuat laporan rasmi kepada PDRM, SPRM dan BNM atau menyembunyikan maklumat keluar masuk wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi seseorang dan memberi maklumat palsu kepada BNM?
4. Bagi ramai rakyat jelata, Khairuddin dan Chang adalah syuhada politik (political martyrs).

5. Pendakwaan Khairuddin dan Chang berkemungkinan memperkukuhkan azam agensi penyiasatan di Singapura, Hong Kong, Switzerland, United Kingdom, Perancis dan Amerika Syarikat menyiasat laporan terhadap 1MDB dan Najib. Mungkin lebih banyak akaun bank dan aset, termasuk kediaman, akan dibekukan.

6. Malaysia akan terus menjadi bahan persendaan masyarakat antarabangsa yang seterusnya memburukkan lagi ketidakyakinan terhadap pemerintahan dan ekonomi negara.

7. Agensi nasional dan internasional menampakkan sikap tidak ambil hirau (disdain) dan tidak yakin dengan tindak-tanduk agensi Malaysia. 

Ini terbukti apabila pihak berkuasa mata wang mereka membekukan akaun berkaitan 1MDB dan Polis Antarabangsa (Interpol) menolak permintaan PDRM agar mengeluarkan waran tangkap ke atas Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown. 

Polis Thailand pula tidak membenarkan Ketua Polis Negara (Tan Sri) Khalid Abu Bakar menemu bual bekas eksekutif PetroSaudi International (PSI) Xavier Andre Justo.

8. Negara seperti Singapura dan Switzerland serta wilayah berautonomi Hong Kong amat tegas mengenai jenayah rasuah dan pembersihan wang haram (money laundering) manakala Amerika Syarikat sangat tegas terhadap pakatan untuk menipu (conspiracy to defraud).

9. Tindakan Apandi merestui tuduhan terhadap Khairuddin dan Chang tetapi pada masa yang sama menolak perakuan pakar (expert recommendation) BNM agar mendakwa 1MDB berkemungkinan memperkukuhkan lagi iltizam pegawai-pegawai SPRM dan BNM serta kakitangan awam lain yang berintegriti untuk tidak tunduk kepada intimidasi.

10. Alhamdulillah, kita mula melihat makin ramai petugas awam kanan seperti Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru bersara Datuk Seri Zakaria Jaffar mula bercakap dan bertindak kerana mereka tidak mahu dituduh bersubahat melakukan kemungkaran. 

Kita berdoa tiada bala menimpa penjawat awam yang berani seperti Zeti.

11. Di arena politik, Umno sudah berpecah kepada dua puak – puak Najib dan puak Muhyiddin-Shafie. 

Di peringkat akar umbi pula, kepemimpinan bahagian dan cawangan tidak lagi berani angkat kepala kerana malu diherdik dan dipersendakan ahli sendiri.

12. Barisan Nasional (BN) hanya wujud pada nama. 

Ramai perwakilan ke Persidangan Agung MCA baru-baru ini secara terbuka menggesa Najib meletakkan jawatan. MIC lumpuh akibat krisis dalaman. 

Di Sarawak, parti-parti suku kaum yang membentuk BN negeri mula bersuara mengenai autonomi dan menjauhkan diri daripada krisis pemerintahan pusat. 

Umno Sabah berpecah akibat pemecatan Shafie dan penonjolan musuh politik beliau.

13. Kem Najib serba salah. 

Mereka mahu menyingkir atau, setidak-tidaknya pun meminggirkan Muhyiddin dan Shafie, tetapi tidak berani kerana mereka tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri. 

Duri dalam daging sudah bernanah.

14. Secara tersirat, pendakwaan terhadap Khairuddin dan Chang adalah “amaran” sesiapa saja yang membuat laporan rasmi membabitkan 1MDB dan Perdana Menteri berkemungkinan disiasat dan didakwa sebagai pensabotaj.

15. Soalnya, kalau membuat laporan, memberi maklumat dan menyerahkan dokumen kepada PDRM dan SPRM adalah sabotaj, bagaimana pula PDRM dan SPRM hendak mendapatkan kerjasama rakyat jelata dalam usaha mencegah jenayah dan membasmi rasuah?

Natijahnya, di sebalik jargon, slogan dan retorik seperti 1Malaysia, rakyat didahulukan, keterangkuman (inclusivess) dan kesederhanaan (moderate) terselit unsur ancaman yang mendalam dan menyeluruh.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .