Seorang bekas guru penolong kanan sebuah sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mencabul seorang murid perempuan, April tahun lepas.
Ahmad Rapaie Mohammad, 54, didakwa memeluk dan mencium murid perempuan yang ketika kejadian berumur sembilan tahun 11 bulan dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di depan stor dalam Bilik Media, di sebuah sekolah di ibunegara pada jam 1.20 tengah hari 30 April 2014.
Tertuduh yang ketika kejadian juga merupakan guru disiplin didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, N.Joy Jothi menawarkan jaminan RM8,000, namun tertuduh yang diwakili peguam Agus Rosman memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya sudah bersara awal kerana menghidap kanser lutut, sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis serta perlu menanggung isteri dan seorang anak.
Majistret Muhamad Faizal Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan abang tertuduh membayar jaminan itu.
Mahkamah menetapkan 13 November untuk sebutan semula kes.
Mahkamah juga membenarkan permohonan Agus supaya anak guamnya dibenarkan duduk sepanjang prosiding kerana dia tidak boleh berdiri lama akibat kanser lutut yang dihidapinya.
No comments: