» » Bajet alternatif PAKATAN tumpu kurangkan cukai dan Rasuah


Pakatan Harapan akan membentangkan bajet alternatif mereka pada 21 Oktober ini dengan tumpuan terhadap usaha menurunkan kadar cukai dan menangani ketirisan daripada rasuah.

Ahli Parlimen PKR yang menganggotai panel bajet itu, Wong Chen berkata, bajet berjumlah RM246 bilion itu dapat menjimatkan RM30 bilion melalui usaha membasmi rasuah itu.

"Apa yang boleh dikatakan ialah, bajet alternatif kali ini, kami akan kurangkan cukai yang dikutip daripada rakyat dan pada masa sama kami akan juga kurangkan perbelanjaan," kata Wong, sambil menambah bajet itu bagi menangani ketidaktentuan ekonomi serta mengatasi tekanan yang dihadapi rakyat ketika ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jawatankuasa Belanjawan Pakatan Harapan di Petaling Jaya hari ini, menerangkan bajet alternatif mereka yang mensasarkan 2% defisit.

Memandangkan cukai diturunkan, Wong yang merupakan wakil rakyat Kelana Jaya itu berkata, mereka menjangkakan hasil yang dikutip akan lebih rendah.

"Secara fiskalnya, bajet Pakatan Harapan akan lebih kecil daripada hasil dan juga perbelanjaan kerajaan.

"Asas hasil yang kecil berdasarkan langkah polisi percukaian progresif yang kami ambil. Bermakna, dalam bajet kali ini, rakyat dan perniagaan akan membayar lebih adil.

Katanya, kekurangan dalam kutipan hasil cukai akan ditampung dengan memotong sebanyak RM30 bilion daripada ketirisan yang berpunca daripada rasuah tersebut.

Dijangka jumlah keseluruhan bajet yang akan dibentang mereka kali ini RM246 bilion dengan sasaran 2% defisit.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, fokus dalam bajet kali juga akan menumpukan ke arah mengurangkan jurang ekonomi dan pembangunan antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak yang agak tercicir.

"Yang paling penting, kita akan ketengahkan jurang pertumbuhan aktiviti ekonomi antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

"Ini penting, kerana Sabah dan Sarawak diabaikan, kerana banyak pelaburan dibuat di Semenanjung," kata Pua.

Pua berkata kedua-dua negeri tersebut masih jauh ketinggalan daripada sudut ekonomi dan pembangunan walaupun memiliki hasil bumi yang banyak.

"Rakyat Sabah dan Sarawak terpinggir, kurang pekerjaan dan kurang peluang ekonomi walaupun kaya dengan gas dan minyak, serta sumber semulajadi lain," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sektor ekonomi berteraskan pertanian untuk rakyat juga akan ditumpukan dalam bajet mereka kali ini.

Secara keseluruhan, Wong menyifatkan bajet 2016 mereka akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan modal insan dan berjimat-cermat menerusi langkah menangani rasuah.

"Kami akan bekerja keras ke arah unjuran fiskal dan juga kedudukan polisi. Kami juga mempunyai bab khusus mengenai idea dan polisi mencegah daripada dibelenggu krisis ekonomi," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .