» » Timbalan pendakwa raya hilang tidak terlibat siasat 1MDB


Timbalan Pendakwa Raya Kevin Anthony Morais yang hilang bukan sebahagian daripada pasukan petugas kerajaan yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini. 

Apandi berkata demikian mengulas spekulasi di media sosial mengenai kemungkinan ada kaitan antara kehilangan beliau dan siasatan berprofil tinggi ke atas syarikat pelaburan negara itu, yang juga melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Dia tidak ada kena mengena dengan siasatan 1MDB," Apandi memberitahu The Malaysian Insider dalam satu pesanan ringkas petang ini.

Morais, yang bertugas dengan Jabatan Peguam Negara, dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas meninggalkan kediamannya di Menara Duta untuk keluar bekerja.

Sumber berkata, Morais meninggalkan rumah kira-kira 9 pagi dengan memandu kenderaan milik kerajaan, sebuah Proton Perdana kelabu dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Satu panggilan yang dibuat rakannya pada jam 10.30 pagi tidak dijawab. Cubaan untuk membuat panggilan ke telefon bimbit Morais beberapa jam selepas itu juga tidak berjaya.

Selepas Morais tidak hadir bekerja pada Jumaat, seorang saudaranya membuat laporan di Balai Polis Jinjang semalam.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang sementara Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata mereka sedang mendapatkan bantuan dari rakan mereka di negeri lain.

Awal pagi semalam, sebuah kereta ditemui terbakar di Hutan Melintang, Perak, menimbulkan syak ia mungkin milik Morais.

Sementara itu, dalam satu kenyataan petang ini, Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata, pihaknya terkejut dengan berita kehilangan Morais itu.

Beliau berkata, Morais pernah berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya di Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM selama 10 tahun sehingga beliau kembali ke Jabatan Peguam Negara pada Julai tahun lepas.

"Beliau seorang yang dedikasi dan komited dalam menjalankan tugas," kata Azam sambil menambah, Morais mengendalikan banyak kes berprofil tinggi untuk SPRM dan sehingga saat kehilangannya, beliau masih sedang menguruskan beberapa kes untuk agensi itu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .