» » SPRM harap tiada pihak buat spekulasi berhubung kehilangan timbalan pendakwaraya SPRM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap tiada mana-mana pihak membuat spekulasi tidak berasas mengenai kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata beliau juga berharap berita kehilangannya sejak Jumaat lepas tidak dikaitkan dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihaknya atau siasatan polis berhubung kebocoran maklumat.

Kevin dilaporkan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

Beliau dilapor memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Polis menemukan sebuah kereta terbakar yang dipercayai hampir sama dengan model kereta yang digunakan oleh Kevin di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak.

Terkejut dengan berita kehilangan itu, Azam berharap Kevin dapat ditemui dengan selamat secepat mungkin dan keluarganya akan bersabar.

Beliau berkata Kevin pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM dan mewakili SPRM sebagai Timbalan Pendakwa Raya selama hampir 10 tahun sebelum kembali ke Jabatan Peguam Negara pada 1 Julai 2014.

"Beliau seorang yang sangat berdedikasi dan komited dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab sebagai Timbalan Pendakwa Raya, serta seorang yang sangat peramah.

"Sepanjang tempoh bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Kevin mengendalikan banyak kes berprofil tinggi dan sehingga kini masih mengendalikan beberapa kes melibatkan SPRM," katanya.

"Saya sendiri mengenali Kevin dengan rapat sejak berkhidmat di SPRM dan berharap semua pihak akan mendoakan keselamatan beliau," kata Azam.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .