Sekolah di 3 buah negeri dan 2 kawasan Wilayah Persekutuan yang ditutup hari ini akibat keadaan jerebu yang semakin teruk hanya akan dibuka semula setelah Indeks Pencemaran Udara (IPU) menurun kepada 150.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penutupan sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka itu terpaksa dilakukan demi kesihatan murid dan pelajar setelah indeks IPU meningkat daripada tahap tidak sihat kepada sangat tidak sihat malam tadi.
Katanya sebanyak 2,045 sekolah melibatkan 1.523 juta pelajar terbabit dalam penutupan hari ini.
"Penutupan sekolah-sekolah terpaksa dibuat lewat malam tadi kerana kita dapati indeks IPU meningkat kepada 195 dan ia dijangka akan meningkat lagi," katanya kepada pemberita di Institut Pendidikan Guru Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Lewat malam tadi, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan mengumumkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka ditutup hari ini berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk.
Sementara itu, Mahdzir berkata pihaknya juga sedang memantau secara dekat keadaan jerebu melibatkan negeri Perak, Pahang dan Terengganu kerana ia juga didapati semakin teruk.
IPU antara 0 dan 50 dikategori baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 adalah tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 300 ke atas adalah berbahaya.
Mengikut prosedur, sekolah hanya akan ditutup apabila IPU mencecah 200 mengikut penetapan Jabatan Kesihatan serta Jabatan Alam Sekitar.
Pagi ini, keadaan jerebu masih berterusan dengan IPU di 34 kawasan di seluruh negara masih pada tahap tidak sihat.
Masalah jerebu turut semakin teruk di negara jiran dengan Indonesia hari ini mengisytiharkan Riau sebagai kawasan darurat kerana jerebu berada di tahap sangat berbahaya, manakala keadaan berjerebu masih berterusan di Singapura dengan kualiti udara kekal pada tahap tidak sihat.
Mahdzir berkata kementeriannya dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan memantau dan memaklumkan masa yang sesuai untuk sekolah dibuka semula.
Beliau menegaskan walaupun sekolah ditutup tetapi guru masih perlu hadir bertugas ke sekolah kerana itu adalah peraturan yang ditetapkan.
Katanya pihaknya juga masih berbincang sama ada untuk menggantikan hari persekolahan yang ditutup itu akibat masalah jerebu.
Ditanya sama ada pihaknya akan membuat kajian semula terhadap tahap IPU penutupan bagi sekolah, Mahdzir berkata pihak akan mengadakan kajian dengan pelbagai pihak termasuk pakar-pakar bersama Jabatan Meterologi dan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata setakat ini indeks IPU itu masih kekal dan jika keadaan jerebu berada pada tahap 150, semua aktiviti luar kelas tidak dibenarkan dijalankan.
sumber
No comments: