» » Rakyat Malaysia perlu buat penyesuaian dalam perbelanjaan untuk hadapi ketidaktentuan ekonomi global


Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menasihati masyarakat di negara ini agar membuat penyesuaian dalam pengurusan kewangan bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi global semasa.

Beliau berkata ini kerana ketidaktentuan ekonomi ini akan berterusan selagi isu-isu yang dihadapi dunia tidak diselesaikan.

Sambil menegaskan Malaysia tidak menuju ke arah krisis ekonomi, Zeti berkata perkembangan global yang menjejaskan masyarakat dunia adalah "di luar kawalan kita."

Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar harian berbahasa Inggeris, The New Straits Times yang disiarkan hari ini, Gabenor BNM itu berkata rakyat Malaysia perlu mengambil maklum bahawa sekarang adalah tempoh mencabar bagi semua pihak – negara, individu dan perniagaan.

Kepada individu, beliau menasihatkan mereka untuk belajar berjimat dan berhemat serta merancang semula gaya hidup mereka sepanjang tempoh mencabar ini.

"Jika mereka menghadapi tekanan kewangan, mereka perlu memanfaatkan kemudahan yang ada seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)," katanya.

Zeti turut menasihati pengguna Malaysia serta perusahaan kecil dan sederhana agar mendapatkan nasihat daripada bank perdagangan berhubung pinjaman mereka kerana selain mendapat akses kepada pembiayaan, mereka juga perlu pamerkan keupayaan untuk membayar semula pinjaman.

"Ini yang harus mereka buat dan pelajari bagaimana untuk merancang dan menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik," katanya.

Zeti turut mengingatkan komuniti perniagaan bahawa mereka tidak boleh lagi mengulangi keuntungan besar yang dicatat semasa keadaan ekonomi baik.

"Semasa keadaan baik mereka perlu membangunkan penampan yang membolehkan mereka mengharungi masa-masa sukar. Semuanya bergantung kepada anda mengenal pasti apa yang harus dilakukan bagi membina daya tahan anda," katanya.

Zeti juga menasihati rakyat Malaysia agar meneroka peluang yang ada di dalam negara, daripada ke luar negara.

"Pelancongan domestik menawarkan banyak perkara menarik, atau teliti peluang pendidikan anak-anak di Malaysia. Di sini pun ada banyak universiti yang bagus," katanya.

Suka atau tidak, rakyat perlu mengubah gaya hidup kerana mereka tidak boleh lagi hidup seperti sebelum ini, katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .