» » Prosiding siasatan PAC terhadap skandal 1MDB tak boleh dedahkan maklumat siasatan kerana terikat dengan Peraturan Tetap


Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen bahawa mereka terikat di bawah Peraturan Tetap untuk tidak membocorkan apa-apa maklumat atau siasatan sebelum laporan mengenainya dikemukakan kepada Dewan.

Perkara 85 Peraturan-Peraturan Mesyuarat menyatakan bahawa jawatankuasa tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat sama ada secara bertulis atau lisan kepada orang luar sebelum ia dibentangkan kepada Parlimen.

"Untuk berbuat demikian adalah tidak adil kepada orang yang mereka siasat. Bagaimana jika siasatan mendapati orang itu tidak bersalah?" katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebocoran transkrip rasmi prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diperoleh oleh akhbar The Wall Street Journal (WSJ).

WSJ dalam laporan terbarunya mendakwa bahawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) membangkitkan persoalan mengenai pembayaran AS$1.4 bilion daripada 1MDB, yang dikatakan tidak pernah sampai ke syarikat pelaburannya, International Petroleum Investment Co (IPIC).

Pandikar Amin berkata Parlimen boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli jawatankuasa yang didapati melanggar peraturan tersebut.

Beliau merujuk kepada kes pada Disember 2010 apabila Dewan Rakyat menggantung empat Anggota Parlimen termasuk Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, daripada menghadiri sidang dewan selama enam bulan kerana membocorkan prosiding Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, yang mendengar dakwaan terhadap firma perunding antarabangsa, Apco Worldwide.

Pandikar Amin menolak andaian bahawa petugas Parlimen mungkin terbabit dalam membocorkan dokumen tersebut dan berkata tidak perlu untuk menyiasat mereka.

"Bagaimana saya tahu dari mana punca kebocoran itu? Itu urusan (PAC). Selepas itu semua perkara (maklumat) sudah bocor.

"Bagaimana perkara itu berlaku dari Parlimen saya?' katanya sebagai respons kepada gesaan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad supaya beliau menyiasat kakitangannya.

Nur Jazlan, bekas pengerusi PAC, memberitahu sebuah portal berita dalam talian semalam bahawa tiada seorang pun ahli boleh membocorkan transkrip prosiding mesyuarat terakhir jawatankuasa itu kerana tidak seorangpun daripada mereka mempunyai akses kepada dokumen.

Terdahulu, Pandikar menutup Perhimpunan Agung ke-36 Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA).



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .