» » Profesor dan pemantau anti rasuah enggan sertai jawatankuasa perundingan dana politik sehingga skandal RM2.6 bilion Najib Razak disiasat


Pakar dalam pembiayaan politik dan pemantau anti rasuah menolak menyertai Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) ditubuhkan Putrajaya, mengatakan mereka akan berada di luar selagi isu berbangkit seperti derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak tidak diselesaikan.

Profesor ekonomi politik dari Universiti Malaya Dr Terence Gomez menolak menyertai jawatankuasa itu selepas menghadiri mesyuarat dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low di mana mereka yang dijemput diminta memberikan maklum balas mengenai terma ditetapkan untuk jawatankuasa itu.

Gomez memberitahu The Malaysian Insider beliau tidak bersetuju dengan sesetengah daripada terma dan menyuarakan kebimbangannya dalam mesyuarat pada 28 Ogos.

Salah satu kebimbangan utamanya ialah kerana jawatankuasa itu tidak akan terlibat dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat milik Kementerian Kewangan yang mempunyai hutang sebanyak RM42 bilion.

“Kebimbangan saya ialah 1MDB merupakan asas mengapa jawatankuasa ini ditubuhkan, jadi agak pelik kita tidak boleh bincangkan mengenai 1MDB.

“Jika anda lihat keadaan di sekeliling 1MDB, ia menunjukkan 2 perkara – ia memberikan gambaran bagaimana kita boleh mengesan pembiayaan politik – dari mana pembiayaan datang (kedua-dua sumber sah dan tidak sah) dan kedua, ia juga menunjukkan kepada kita bagaimana wang dibelanjakan dengan mengelakkan undang-undang pilihan raya sedia ada termasuk pembiayaan pilihan raya," kata Gomez kepada The Malaysian Insider.

Isu lain beliau tidak selesa merupakan sekatan terhadap apa yang ahli jawatankuasa boleh bercakap kepada orang awam sebelum penemuan akhir selesai.

“Saya lihat di sekeliling meja mesyuarat dan terdapat ramai yang duduk di sana termasuk mereka yang bercakap secara terbuka mengenai 1MDB.

“Jadi saya bimbang sekatan ini mungkin satu percubaan untuk menutup mulut pengkritik kerajaan,” tambahnya.

Sebelum ini, Gomez dan pemantau anti rasuah Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) dijemput untuk menyertai JKNMPP.

Dipengerusikan Low, ianya mempunyai masa setahun menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang diperlukan sebelum pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan selewat-lewatnya pada 2018.

Malaysia sebelum ini tidak mempunyai undang-undang mengenai pembiayaan politik dan JKNMPP ditubuhkan selepas krisis 1MDB dan wang RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Gomez berkata, oleh kerana perdana menteri terlibat, anggota Kabinet tidak sepatutnya mengetuai jawatankuasa tersebut.

“Ia seharusnya bebas daripada Kabinet, tidak dapat diterima anggota Kabinet mengetuai jawatankuasa itu, ia menjejaskan kredibiliti.”

Penting juga untuk melihat bagaimana penemuan jawatankuasa tersebut melepasi Kabinet dan akan terus dibawa ke Parlimen, kata Gomez yang pernah dilakukan kajian mengenai pembiayaan politik bagi Transparency International Malaysia (TI-M) apabila Low mengetuainya.

Katanya, TI-M mengambilnya sebagai perunding dalam kajian diketuai Low dan menambah sebuah buku diterbitkan mengenai penemuannya.

Sementara itu, pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel mengatakan beliau juga menolak untuk bersama jawatankuasa itu dan mengulangi hanya akan menyertainya selepas penyiasatan wang RM2.6 bilion diterima Najib diselesaikan.

RM2.6 bilion itu dikatakan diterima Najib daripada penderma Timur Tengah.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .