Pihak polis sedang cuba memecahkan sebuah tong dram yang mengandungi konkrit di sebuah lokasi terpencil di Subang Jaya, dipercayai mengandungi mayat manusia ketika siasatan kehilangan Timbalan Pendakwa Raya Kevin Anthony Morais masih sedang berjalan.
Difahamkan, siasatan polis ke atas kes itu membawa mereka ke kawasan di USJ 1 itu, di mana berpuluh-puluh anggota polis, termasuk pasukan forensik dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berkumpul sejak awal pagi ini.
Ketika ini, anggota bomba dan penyelamat sedang menjalankan kerja-kerja penggerudian untuk memecahkan tong itu, yang mereka temui di dalam semak di kawasan itu.
Polis mengepung jalan menuju ke kawasan di mana tong itu ditemui manakala petugas media hanya dibenarkan sehingga 100m dari kawasan siasatan.
Kawasan di mana tong itu ditemui terletak di belakang sebuah sekolah rendah Cina, dekat jalan mati.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad, yang mengetuai siasatan penculikan Morais, turut berada di lokasi itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Seri Mohmad Salleh dijangka mengadakan sidang akhbar selepas ini berhubung penemuan tersebut.
Morais, yang bertugas dengan Jabatan Peguam Negara, dilaporkan hilang pada Jumaat, 4 September lalu selepas meninggalkan kediamannya Menara Duta untuk bekerja.
Beliau ketika itu meninggalkan rumah memandu kenderaan milik kerajaan, Proton Perdana kelabu dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q pada kira-kira 9 pagi.
Panggilan yang dibuat rakannya kemudian pada jam 10.30 pagi tidak dijawab.
Cubaan membuat panggilan ke telefon bimbit Morais selepas beberapa jam kemudian juga tidak berjaya. Siasatan awal mendapati Morais tidak hadir ke pejabat pada Jumaat.
Polis kemudian menemui sebuah kereta yang terbakar, dipercayai Proton Perdana, yang ditemui di Hutan Melintang, Perak sehari selepas Morais hilang.
Bagaimanapun, polis masih belum mengenal pasti pemilik kenderaan tersebut kerana nombor casis dan enjinnya ditanggalkan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata minggu lepas, polis mempunyai sebab untuk percaya, terdapat unsur jenayah yang terlibat dalam kehilangan Kevin, sambil menambah, ia bukan lagi merupakan kes orang hilang tetapi penculikan, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
sumber
No comments: