» » Pertukaran pegawai kerajaan berjawatan penting dan terlibat dalam siasatan skandal 1MDB dan wang RM2.6 bilion Najib Razak sangat luar biasa


Jurucakap kumpulan tokoh Melayu ulung G25, Datuk Noor Farida Ariffin, menyifatkan siri pertukaran pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berlaku mutakhir ini sebagai 'luar biasa'.

Katanya, ketika masih bekerja dengan kerajaan dahulu, beliau perlu memohon kebenaran daripada 2 pihak sebelum dibenarkan berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik daripada Jabatan Kehakiman.

Bekas duta itu berkata, pertukarannya perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), bukan ketua jabatan beliau semata-mata.

"Inilah prosedur yang ditetapkan dan ia tidak boleh dilakukan ketua jabatan semata-mata. Jadi, prosedur ini perlu dipatuhi.

"Ia (pertukaran terbaru) agak luar biasa, terutamanya jika mereka tidak mematuhi prosedur yang betul. Ia tidak boleh dilakukan ketua jabatan semata-mata," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas siri pertukaran pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berlaku ketika kontroversi rombakan Kabinet susulan siasatan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

19 Ogos lalu, bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Abdul Hamid Bador menerima surat pertukaran mengarahkan beliau mengetuai sebuah bahagian keselamatan baharu di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Hamid adalah penjawat awam kanan terkini yang secara mendadak dipindahkan dari pejabatnya.

Pada 7 Ogos, 2 pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Bahri Mohd Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik Datuk Rohaizad Yaakob – ditukarkan ke JPM berkuat kuasa serta merta.

Arahan itu bagaimanapun dibatalkan pada 10 Ogos selepas mereka mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Kedua-duanya kemudiannya kembali semula ke jawatan asal mereka dalam badan anti-rasuah itu.

Sebelum itu pada hujung Julai, bekas ketua peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilucutkan jawatannya dan digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pelucutan jawatan Gani, atas alasan kesihatan, berlaku serentak dengan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri yang sebelum ini lantang mengkritik pentadbiran negara berhubung kes 1MDB.

Gani sebelum itu terlibat dalam pasukan petugas khas kerajaan menyiasat 1MDB yang turut dianggotai Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamad, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .