» » Najib Razak kena maki hamun di Facebook dan Twitter ketika minta pandangan rakyat Malaysia bekaitan Bajet 2016


Ruang yang disediakan buat rakyat Malaysia untuk memberikan cadangan berhubung Bajet 2016 menjadi medan meluahkan kritikan terhadap Datuk Seri Najib Razak supaya meletak jawatan, di mana pengguna media sosial didapati melahirkan kekecewaan mereka ke atas skandal kewangan yang didakwa mengaitkan perdana menteri itu.

Dalam posting pada akaun Facebook dan Twitternya, Najib menjemput orang ramai memberikan maklum balas mengenai Bajet akan datang, yang dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober, di laman blog rasmi beliau najibrazak.com/bajet2016.

Walaupun terdapat banyak komen membina pada laman mikro itu yang meliputi 15 kategori, dan juga di Facebook beliau, tentang bagaimana menangani kos sara hidup yang tinggi, ramai di kalangan pengguna bertindak melemparkan sindiran dan kritikan.

Di Facebook beliau, beberapa pengguna Internet menekankan isu "derma" RM2.6 bilion daripada penderma tidak dikenali dari Timur Tengah yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Terdapat mereka yang menyatakan keraguan berhubung hasrat kerajaan menggunakan hasil daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk memastikan kebajikan rakyat, sambil sesetengahnya cuba mempermainkan isu RM2.6 bilion, meminta sebahagian daripada wang terbabit untuk membantu saudara-mara dan rakan.

"Nak 100k Dato Sri. Nak bantu org kampung," tulis Mikel Azzam dalam komennya.

NTee Jym berkata: "Atau pinjam saya 50k nak berkahwin. ... pinjam je ...".

Ada juga pengguna Internet yang dilihat secara terbuka menanyakan Najib mengenai status wang RM2.6 bilion, seperti dilakukan Muhamad Fauzi Ibrahim dalam posting beliau: "Duit 2.6 bilion macam mana", manakala Eugene Looi bertanya bila wang itu akan diberikan kepada rakyat.

"Bila pula nak pulangkan wang derma 2.6 bilion itu kpd rakyat?" tulisnya.

Peter Lim menanyakan adakan Najib sudah menunaikan semua janji-janji beliau sebelum ini.

"Janji dulu dah settle? Sekarang nak janji baru pulak?" katanya.

Sementara itu, kejatuhan nilai ringgit menjadi isu yang diketengahkan Nur Masri apabila dia meminta Najib mengambil tindakan bagi membendung kemerosotan mata wang Malaysia itu.

"Pulihkan matawang," katanya.

Kiran Rj pula mencadangkan supaya "pendidikan percuma" diberikan kepada semua.

Ada juga pengguna yang hanya menaip #najibletakjwtanPM (hashtag Najib letak jawatan sebagai PM), berulang kali.


Bagaimanapun, di tengah-tengah kritikan ada juga pengguna media sosial yang menyatakan sokongan kepada Najib melalui hashtag #Bajet2016 #SupportBN #SupportPM #SehatiSejiwa.

Di Twitter Najib, sebahagian besar pengikutnya meminta beliau memansuhkan GST yang diperkenalkan Putrajaya pada April lepas malah ada juga meminta beliau untuk berundur.

"@NajibRazak saya cadangkan dato letak jawatan..bernas idea aku dokkk," kata seorang pengguna @uzairsadini.

@MohdSayutiOmar juga meminta Najib menjelaskan di mana wang RM2.6 bilion itu. "NajibRazak sebelum minta cadangan jawab dulu ke mana lesapnya 2.6b."

@Wnamierah_ mencadangkan sudah tiba masa Najib melepaskan jawatan. "@NajibRazak saya cadangkan dato letak jawatan duk rumah jaga wife (isteri) dgn duit derma itu. Yg lain dah takpe biar org lain pulak take over (ambil alih)."

Nik Fahmi yang menggunakan nama @FahmiBDent meminta perdana menteri menjelaskan dakwaan skandal di sekelilingnya.

"@NajibRazak DS nk menangi hati rakyat? Come clean (bersihkan nama) pasal 1MDB, 2.6bil, Altantuya Shaaribu dan lain-lain rakyat dh muak sgt dgn drama Umno. Ikhlas."

Hafiz di akaun @_hafiz secara ringkas menggesa Najib supaya memulangkan balik wang RM2.6 bilion kepada rakyat.

"@NajibRazak return 2.6bil to rakyat (pulangkan semula RM2.6 bilion kepada rakyat," katanya.

Seorang pengguna Twitter Vamos menggunakan nama @vamos32 bertindak lebih kasar dalam mendesak Najib meletak jawatan.

"@NajibRazak Cadangan saya letak jawatan. Beri laluan kpd mereka yg lebih layak utk jawatan ni. Negara ni dah jahanam di bawah kepimpinan DS.


Blog rasmi Najib membuka ruang kepada orang ramai untuk menyalurkan cadangan dan pandangan mereka mengenai Bajet 2016 sehingga 15 September ini.

sumber



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .