» » Malaysia perlu ada badan bebas untuk lantik Ketua Polis Negara


Sebagai anak bekas ketua polis negara (IGP), Najib Abdul Rahman pasti tahu benar bahawa anggota keselamatan negara berbaju biru gelap itu berhak dihormati masyarakat.

Dan bagi beliau, satu-satunya cara untuk mendapatkan semula keyakinan serta rasa hormat orang ramai kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah dengan menubuhkan badan bebas bagi melantik IGP.

Bercakap kepada Malaysiakini, Najib - bekas wartawan - berkata secara peribadi beliau berasa kasihan melihat ribuan anggota PDRM yang berkhidmat secara jujur demi negara namun dipimpin ketua yang mengecewakan.

"Sebab itu saya percaya perlu ada badan bebas untuk melantik IGP dan ia mesti bebas daripada pengaruh perdana menteri dan menteri dalam negeri," katanya.

Apabila badan itu wujud, menurut Najib, seseorang IGP boleh berkhidmat secara bertanggungjawab ke atas rakyat.

"Isunya adakah kerajaan mempunyai keinginan untuk melakukannya?" kata Najib.

Najib adalah anak Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim, ketua polis negara yang ketiga.

Sebelum menjadi IGP Abdul Rahman adalah Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

Mahathir tak akan peduli

Bagaimanapun beliau terkorban dalam kejadian serangan pihak tidak dikenali awam di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada Jun 1974.

Kerajaan kemudian menyalahkan komunis sebagai dalang di sebalik serangan maut itu namun ia dinafikan beberapa pihak.

Kata Najib seseorang IGP boleh dianggap sebagai tulang belakang kepada PDRM dan untuk memastikan pasukan itu dihormati, pemimpninya mestilah memiliki integriti tinggi.

"Jika kita ada seorang IGP yang tiada tulang belakang, habislah," katanya.

Menurut Najib negara boleh memiliki pasukan polis yang benar-benar bebas tetapi belum pasti ia dapat direalisasikan.

"Seorang pemimpi mesti memiliki prinsip peribadi yang kuat. Ia keperluan wajib untuk seorang IGP dan ia perlu berdasarkan kepada meritokrasi," katanya.

Dalam temubual selama lebih sejam itu Najib turut mengakui rasa terkejut apabila Tun Dr Mahathir dilaporkan akan disoal siasat polis kerana muncul seketika dalam perhimpunan BERSIH 4 pada akhir bulan lalu.

"Anda nak soal siasat Dr Mahathir? Dia takkan peduli. Dia akan buat apa saja dia nak buat dan dia sangat jelas mengenai itu," katanya.

'Kalau ayah, SPRM tak akan diganggu'

Menyentuh isu siasatan terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib berkata, jika kini PDRM diketuai bapanya, insiden itu tidak akan berlaku.

"Ayah saya tidak akan membiarkan anggotanya mengganggu siasatan SPRM," katanya.

Keadaan itu juga mendorong Najib berpendapat tahap kemahiran anggota PDRM terjejas dan Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu bertindak segera bagi mengelak ia menjadi lebih buruk.

Katanya, Khalid perlu memiliki sifat kepolisan sebenar.

"Jika anda menyiasat, anda benar-benar menyiasat.

"Anda tidak akan mendakwa seseorang yang sedang menyiasat sesuatu kes. Pendakwaan yang dibuat mesti benar-benar tepat," katanya.

Mengenai isu pertukaran dua pegawai tertinggi Cawangan Khas Bukit Aman, Najib berkata, pengarah dan timbalan pengarah tersebut memiliki kredibiliti dan kepintaran tinggi.

"Pegawai itu berpotensi untuk menjadi IGP pada masa depat. Hakikat mereka berani untuk menyiasat skandal 1MDB membuktikan mereka memiliki sifat seorang IGP. Mereka mencari kebenaran untuk rakyat.

"Kita perlukan orang seperti mereka. Pegawai begitulah yang kita perlu jaga, perlu pelihara," katanya.


Najib juga berpendapat Khalid berada dalam keadaan sangat sukar sehinggakan pertukaran Datuk Hamid Bador (timbalan pengarah Cawangan Khas) dilakukan tanpa pengetahuan beliau.

"Saya percaya Khalid menandatangani surat pertukaran jawatan Hamid dalam keadaan dia tidak mempunyai sebarang pilihan lain," katanya.


Namun kata Najib, itu bukan watak sebenar seorang IGP.

"Saya tak boleh bayangkan arwah bapa saya tergamak melakukan perkara itu," katanya.

Najib menambah, keadaan itu disedari Khalid namun pada masa sama ia menyebabkan anggota PDRM tidak bersatu.

Namun Najib percaya keadaan masih boleh diselamatkan.

"Kita masih boleh berharap kepada IGP. Semuanya terserah kepada Khalid kerana dia perlu mempertahankan kemurnian PDRM," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .