» » Lembaga disiplin Umno anggap hadir acara pembangkang perkara biasa bagi seorang ahli UMNO


Lembaga Disiplin Umno menolak dakwaan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang Datuk Saifuddin Abdullah melakukan kesalahan serius apabila muncul di majlis pelancaran gabungan baharu parti pembangkang, Pakatan Harapan, minggu lalu.

Walaupun setiausaha agung Umno itu berkata, tindakan Saifuddin mencemarkan imej parti, pengerusi lembaga disiplin parti Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas pula berbeza pandangan.

Megat Najmuddin berkata, Saifuddin tidak melakukan sebarang kesalahan dengan menghadiri program itu, sambil menambah, malah ia mungkin boleh memberi manfaat kepada Umno.

"Kalau setakat nak hadir dalam acara pembangkang saya rasa tidak ada masalah. Biasalah itu. Tapi kalau dia hadir, kemudian aktif kutuk Umno, itu lain cerita.

"Kalau hanya hadir, tidak ada apalah. Kita pun nak dengar juga apa fakta, peranan dan hujah pembangkang di sana," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu akan dipecat daripada Umno kerana mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat dengan PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain Selasa lalu.

Saifuddin ketika itu berkata beliau mengambil bahagian dalam rundingan itu atas kapasitinya sebagai pengerusi Akademi Belia, salah sebuah NGO.

Kehadirannya itu mendorong Tengku Adnan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Saifuddin pada 22 September, menuntut beliau menjelaskan tindakannya dalam tempoh 14 hari.

Tengku Adnan berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada Lembaga Disiplin jika Saifuddin gagal bertindak balas terhadap surat tunjuk sebab itu dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Pada Isnin, Saifuddin memberitahu pemberita, beliau masih belum menerima surat tunjuk sebab yang dikatakan itu daripada Umno.

Sementara itu, pemerhati politik berkata kepada The Malaysian Insider, Umno menentang semangat demokrasi sebenar jika ia menghukum ahli yang bercanggah pendapat, merujuk kritikan Tengku Adnan terhadap Saifuddin.

Penganalisis politik Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, ia satu langkah yang silap kerana Umno dilihat menyekat kebebasan ahlinya untuk mengambil bahagian dalam aktiviti luar parti.

Megat Najmuddin berkata, beliau tidak tahu jika Lembaga Disiplin Umno ada menerima notis berhubung kes Saifuddin, sambil menambah, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan jika mereka menerimanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan lembaga itu akan bertindak jika ahli Umno didapati melanggar peraturan dan perlembagaan parti.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .