» » Khairuddin ditangkap dengan menyalahgunakan SOSMA kerana bongkarkan skandal 1MDB


Semalam, bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Khairuddin ditangkap dipercayai disebabkan oleh laporan yang dibuatnya dengan penyiasat-penyiasat di luar negara terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau ditangkap dan direman dahulu pada 18 September lepas di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen. Selepas beliau dilepaskan beliau ditangkap semula dibawah Sosma.

Khairuddin kini mengadapi tuduhan di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan, dipercayai untuk kesalahan-kesalahan “sabotaj” atau “percubaan untuk sabotaj Negara”

Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) mengambil pendirian yang sama dengan Majlis Peguam dan banyak lagi badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain dan juga semua warga Malaysia yang berfikiran munasabah dalam mengkritik dan mengecam tindakan ini sebagai tindakan yang menindas dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

Sosma merupakan satu akta yang bersifat autoritarian dan menindas dan ia kini digunakan pula untuk melindungi perdana menteri (yang sepatutnya bertanggungjawab kepada rakyat) daripada penelitian.

Dalam perbandingan yang begitu ketara, individu yang mengugut untuk mengadakan rusuhan di Jalan Petaling pula dipandang ringan dan tidak berdepan dengan tindakan polis.
Ini menyerlahkan lagi penyalahgunaan kuasa dan tindakan-tindakan penguatkuasaan ini yang mempunyai agenda politik.
Sosma bertujuan menangani kesalahan-kesalahan sekuriti yang “memudaratkan keselamatan awam di dalam, atau sekuriti Persekutuan atau mana-mana bahagian Persekutuan”.


Persoalannya ialah, bagaimana tindakan Khairuddin iaitu memfailkan laporan di luar negara berkenaan 1MDB memudaratkan keselamatan awam negara?

Laporan-laporan tersebut mungkin menyebabkan sesetengah pihak berasa tidak selesa tetapi itu tidak boleh menjadi asas bagi satu penangkapan.

Tambahan pula, Khairuddin akan dikecualikan di bawah Seksyen 4(3) Akta Sosma yang menyatakan: “Tiada seorang pun boleh ditangkap atau ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya”.

Kepercayaan politik atau aktiviti politik pula didefinisikan di bawah Seksyen 4(12) perenggan (b) dan (c) masing-masing sebagai “pernyataan pendapat yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan” dan “pengambilan tindakan yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan”.

Pada pandangan kami, penangkapan ini adalah tidak sah di sisi undang-undang khususnya di sisi Sosma.

Agensi-agensi penguatkuasaan harus memilih pendirian mereka sama ada peranan mereka adalah untuk melindungi rakyat atau untuk melindungi pemimpin-pemimpin daripada bertanggungjawab untuk tindakan-tindakan mereka sama ada betul atau salah.
Pilihan tersebut sepatutnya jelas tanpa sebarang keraguan. Khairuddin patut dibebaskan dengan segera dan sikap pihak berkuasa yang giat mencabul hak asasi manusia dengan sewenang-wenangnya mestilah dihentikan.

Biar sedikit kewarasan, keadilan dan pendekatan yang menghormati kedaulatan undang-undang kembali diamalkan dengan segera dalam atur cara pentadbiran negara ini.

Insiden ini adalah salah satu daripada tindakan bersiri yang bersifat menindas dan diambil secara sewenang-wenangnya oleh pihak yang berkuasa untuk melindungi perdana menteri daripada memberi jawapan kepada rakyat.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .