» » Jerebu 2015 semakin teruk melanda Malaysia


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengulangi kebimbangannya berhubung kemerosotan kualiti udara di negara ini, apabila semakin banyak titik panas dikesan di Sumatera.

"Saya memantau situasi ini setiap hari dan ia amat membimbangkan.

"Laporan daripada Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) yang saya terima pagi ini menunjukkan terdapat 308 titik panas dikesan di Sumatera," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Junaidi berkata beliau turut menyampaikan taklimat dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini berhubung situasi cuaca terkini, dan berharap untuk bertemu rakan sejawatannya di Indonesia untuk membincangkan perkara itu.

Isu lain yang akan diketengahkan dalam mesyuarat yang dicadangkan pada 17 dan 18 September di Jakarta itu adalah Memorandum Persefahaman Malaysia-Indonesia bagi menangani isu jerebu rentas sempadan, yang dipersetujui semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-17, katanya.

"Dalam hubungan ini, kami berharap dapat memuktamadkan MoU semasa lawatan ini," kata Wan Junaidi.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini, beliau masih belum menerima jawapan daripada Menteri Alam Sekitar Indonesia berhubung permohonan beliau untuk mengadakan mesyuarat 2 hala itu.

Selain Indonesia dan Malaysia, Singapura, Thailand dan Brunei turut bersetuju untuk mempertingkatkan usaha bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan dalam mesyuarat yang diadakan di Jakarta pada 28 Julai lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Datuk Che Gayah Ismail berkata belum ada keperluan untuk melakukan operasi pembenihan awan di Lembah Klang bagi meredakan masalah jerebu.

Beliau berkata ini disebabkan kualiti udara masih dalam lingkungan tahap sihat manakala operasi pembenihan awan akan hanya dilakukan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan di kawasan tertentu adalah 101 ke atas selama lebih 72 jam atau 3 hari berturut-turut, dan dikategorikan sebagai tidak sihat.

"Pada masa ini, belum ada keperluan untuk melakukan pembenihan awan, Bagaimanapun, sebaik sahaja kualiti udara mencecah paras tidak sihat, MET dan TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) akan melakukan operasi itu," katanya kepada Bernama.

Menurut Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan bagi kategori sederhana pula adalah 51 hingga 100.

Che Gayah berkata kejayaan operasi pembenihan awam juga tertakluk kepada terdapatnya keadaan awan dan cuaca yang bersesuaian.

Katanya Malaysia perlu bertahan dengan keadaan cuaca berjerebu yang berlaku sekarang sehingga hujung September jika aktiviti pembakaran terbuka di Sumatera, Indonesia, berterusan.

Beliau berkata ini disebabkan negara ini mengalami monsun barat daya yang membawa angin dari arah barat daya ke Semenanjung.

"Jadi, jika terdapat aktiviti pembakaran terbuka di Sumatera, tiupan angin itu akan membawa asap ke sini. Keadaan ini akan berterusan sehingga hujung September, yang merupakan permulaan musim antara monsun," katanya.

Musim antara monsun akan membawa lebih banyak taburan hujan pada Oktober dan bulan seterusnya, serta boleh mengakibatkan banjir kilat di negeri pantai barat, katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .