Sebarang percubaan untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006, adalah tidak berasas, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini.
Mengulas "spekulasi media" dalam kes itu, susulan satu dokumentari disiarkan Al Jazeera baru-baru ini, beliau berkata nama Najib tidak timbul sepanjang proses undang-undang dan tiada bukti menunjukkan beliau memainkan peranan dalam kes itu.
Apandi berkata, baik bekas komando polis Sirul Azhar Umar mahupun penyiasat persendirian Balasubramaniam Perumal pernah mengaitkan Najib dalam kes itu.
"Kaitan yang paling jauh ialah Abdul Razak Abdullah, atau Razak Baginda, meminta bantuan pegawai pengiring perdana menteri ketika itu, DSP Musa Safri, mendapatkan seorang pegawai polis untuk membantu beliau berhubung satu perkara peribadi," katanya merujuk Razak yang merupakan bekas pembantu Najib dan bekas kekasih Altantuya.
"Musa kemudiannya meminta salah seorang tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri, untuk berjumpa Razak.
"Mengikut testimoni beliau sendiri, Azilah berkata, Musa tidak memainkan peranan lain dan tidak memberi sebarang arahan mengenai perkara itu," kata Apandi sambil menambah, Musa ditawarkan kepada pihak pembelaan sebagai saksi.
Seorang lagi tertuduh, katanya merujuk kepada Sirul, juga dalam satu kenyataan dari kandang tertuduh, tidak membabitkan sesiapa kecuali Razak.
"Dan sepanjang episod itu, dia bertindak atas arahan Azilah," kata Apandi dalam satu kenyataan mengulas laporan susulan dokumentari program hal ehwal semasa Al Jazeera yang disiarkan pada 11 September lalu.
"Balasubramaniam juga tidak pernah menyebut mengenai sebarang peranan dimainkan perdana menteri, sama ada dalam kenyataannya kepada polis atau dalam keterangannya di mahkamah.
"Oleh itu, percubaan pihak dan individu yang dinyatakan di atas untuk mengaitkan perdana menteri dengan kes pembunuhan ini adalah sama sekali tidak berasas," kata Apandi.
Najib berkata, dokumentari dan timbulnya semula kes Altantuya itu merupakan satu "konspirasi" terhadapnya, memandangkan ia disiarkan ketika beliau berdepan desakan supaya meletak jawatan.
Dokumentari itu mendorong pembangkang memperbaharui gesaan supaya siasatan baru dibuka ke dalam kes tersebut, kerana mereka yang disabitkan kesalahan tiada motif membunuh Altantuya.
Tetapi Apandi berkata hari ini, perbicaraan kes bunuh itu dijalankan secara menyeluruh dan semua saksi yang relevan dipanggil memberi keterangan.
"Setiap satu bukti dan keterangan saksi tertakluk seterusnya kepada penelitian rapi kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan," kata Apandi.
Apandi mengetuai panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan Sirul dalam kes pembunuhan itu pada 23 Ogos, 2013, kerana kekurangan bukti.
Hakim memutuskan kegagalan memanggil Musa terbukti membawa kekalahan kepada pendakwaan.
Tetapi, Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari, 2015 mengembalikan penghakiman Mahkamah Tinggi dan mengenakan hukuman mati kepada mereka yang disabit kesalahan.
sumber
No comments: