» » Bank Negara hanya boleh serahkan maklumat berkaitan dalam siasatan skandal wang RM2.6 bilion Najib Razak


Bank Negara Malaysia (BNM) menyerahkan maklumat mengenai transaksi pengubahan wang kepada agensi lain untuk disiasat, mengikut kuasa ditetapkan undang-undang, kata Timbalan Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus ketika ramai yang marah apabila bank pusat itu diam berhubung peranannya dalam menyiasat dana berbilion ringgit masuk ke akaun peribadi perdana menteri.

Tanpa secara terperinci merujuk kepada RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak, Nor Shamsiah berkata terpulang kepada agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sama ada wujud elemen salah laku atau tidak dalam transaksi yang dikesan BNM.

“BNM hanya mentadbir 2 undang-undang di bawah bidang kuasa kita, Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

“Mengenai perkara lain, tanggungjawab kita ialah untuk menyebarkan maklumat itu kepada pihak berkuasa berkenaan,” katanya di Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC).

Nor Shamsiah mengulas berhubung dakwaan BNM berdiam diri mengenai RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun Najib, yang datang daripada sumber asing.

SPRM mengesahkan transaksi itu, yang berlaku pada 2013, adalah derma peribadi datang daripada penderma Timur Tengah.

Pengkritik bagaimanapun mempersoalkan bagaimana sejumlah besar wang itu masuk ke dalam akaun peribadi Najib tanpa mencetuskan tanda amaran di pihak pengawal kewangan berkenaan.

Semasa sesi dialog di persidangan itu, Nor Shamsiah ditanya sama ada BNM bimbang reputasinya akan terjejas kerana tidak mengambil tindakan terhadap pindahan wang RM2.6 bilion itu.

Menjawab soalan itu, beliau berkata BNM akan terus memantau semua institusi kewangan dalam negara bagi memastikan mereka mematuhi peraturan anti pengubahan wang dan memeriksa transaksi yang nampak berisiko.

Tiga tahun lalu, BNM mendenda beberapa bank berjumlah RM10 juta kerana terlepas pandang dalam pemantauan berisiko mereka, katanya, tanpa memperincikan institusi mana yang didenda.

Nor Shamsiah berkata sebuah kumpulan Asia Pasifik yang menilai pencapaian negara dalam memerangi pengubahan wang juga memuji Malaysia.

“Penilaian mereka terhadap kita mendapati tahap keberkesanan kita teguh,” katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .