» » Sokong penyiasat yang jujur dalam siasatan skandal 1MDB dan SRC


Penjawat awam yang jujur dalam agensi anti rasuah, bank pusat dan Jabatan Peguam Negara sedang diserang dalam melakukan kerja mereka, dakwa Datuk Ambiga Sreenevasan sambil menggesa rakyat Malaysia menyokong agensi penguatkuasaan tersebut.

Ketika ramai di antara penyiasat yang terlibat dalam meneliti kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan syarikat yang berkaitan ditahan polis kerana didakwa terlibat membocorkan maklumat rasmi mengenai firma sarat hutang itu, presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) itu menegaskan, mereka perlu disokong.

Ambiga antara pemimpin masyarakat sivil dan ahli politik yang memuji pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terus komited menjalankan kerja penyiasatan mereka, walaupun sebelum ini pernah mengkritik badan anti rasuah tersebut.

"Ada individu mengganggu SPRM dan BNM. Penangkapan orang untuk melakukan kerja mereka tidak boleh diterima. Apa yang rakyat dalam kerajaan lakukan?

"Kita mesti melindungi agensi ini kerana ada orang di luar sana yang tidak mahu kebenaran terbongkar," kata Ambiga pada forum bertajuk ‘Malaysia: Ke mana kita pergi dari sini’ di Kuala Lumpur, malam tadi.

Forum itu diadakan ketika 9 pegawai SPRM setakat ini disoal polis berhubung kes dakwaan kebocoran maklumat dalam siasatan suruhanjaya itu terhadap syarikat berkaitan 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Seorang timbalan pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara yang dipinjamkan kepada SPRM ditahan untuk disoal siasat polis, begitu juga ketua bahagian operasi khas agensi itu Datuk Bahri Mohamad Zain.

Bahagian operasi khas ialah unit di bawah SPRM yang mengetuai siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd.

Siasatan polis terhadap SPRM dikritik pihak yang melihatnya sebagai satu bentuk ugutan.

Mengikut skop tugas penyiasatan, polis meneliti 1MDB sendiri, serta dakwaan kebocoran maklumat rasmi mengenai siasatan terhadap firma itu, manakala SPRM menyiasat SRC International.

Ambiga turut menggesa ketua industri untuk bersuara terhadap tekanan yang mungkin dilakukan terhadap Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung peranannya dalam menyiasat pemindahan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Tujuan BNM ialah melindungi integriti sistem kewangan. Jika anda menyerang mereka, bagaimana orang luar akan cukup yakin untuk melabur wang mereka di sini?," soal Ambiga.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang turut berucap pada forum itu, mencabar hujah polis yang maklumat mengenai siasatan 1MDB itu bocor, selepas SPRM menyatakan apa yang dikatakan kebocoran di Internet, seperti draf kertas pertuduhan diedarkan antara media sosial, adalah palsu.

"Kalau kertas pertuduhan itu palsu, mengapa ada penyiasatan ke atas satu kebocoran? Bagaimana boleh ada kebocoran jika tiada apa yang bocor pada asalnya?

"Kenyataan-kenyataan yang bertentangan ini, dari SPRM dan polis, adalah bukti kerajaan sedang berperang sesama sendiri," katanya.

Seorang lagi ahli panel, ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, kesungguhan SPRM menunjukkan ramai kakitangan awam yang sudah muak dengan pentadbiran.

"Mereka bekerja tanpa mengenal penat lelah mengumpul semua bukti, tetapi tidak ada tindakan diambil. Ada rakyat Malaysia yang patriotik yang ingin kebenaran terbongkar."

Suruhanjaya itu menyiasat dakwaan pemindahan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Pada Isnin, ia berkata dana itu merupakan satu sumbangan dan bukan daripada 1MDB.

Semalam, SPRM berkata ia akan meminta perdana menteri memberikan penjelasan mengenai derma itu, yang dikatakan datang dari Timur Tengah.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .