» » Raja Ilya bakal tauke produk kecantikan


Nasihat ibu dan kakaknya agar dia menggunakan wang hasil titik peluhnya bekerja siang dan malam, untuk sesuatu yang boleh membantu menjamin masa depannya, membuatkan Raja Ilya menceburi bidang perniagaan.

Dan bidang kecantikan menjadi pilihan aktres jelita ini yang mana ketika ini produk kecantikan keluaran syarikatnya sendiri sedang dalam proses pembuatan.

“Insya-Allah dalam tahun ini juga, Ilya bercadang untuk melancarkan produk kecantikan milik syarikat Ilya sendiri,” kata Raja Ilya kepada Mangga Online ketika ditemui di majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh Media Prima di Hotel Hilton, KL Sentral, petang semalam.

Menurut Raja Ilya, perniagaan ini seratus peratus menggunakan modalnya sendiri tanpa bantuan daripada sebarang rakan perkongsian.

“Ilya dengar kata emak dan kakak yang nasihat Ilya supaya guna duit sendiri tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

“Kata mereka, kalau Ilya pakai duit sendiri hasil penat-lelah Ilya bekerja siang dan malam akan menjadikan Ilya lebih menghargai dan serius menjalankan perniagaan,” cerita aktres popular ini.

Takut Tidak Bertahan

Apabila ditanya mengapa menceburi bidang perniagaan sedangkan kerjayanya dalam bidang lakonan sedang meningkat dengan tawaran demi tawaran berlakon yang diterimanya, Raja Ilya memberikan jawapannya.

“Ilya takut nama Ilya tidak dapat bertahan dalam industri ini. Maklumlah, setiap hari ada sahaja pelapis baru yang muncul.

“Ilya kena ada back-up plan, itu sebab Ilya buat keputusan untuk buat bisnes sendiri.

“Ilya pilih bidang kecantikan kerana ia dekat dengan jiwa Ilya,” jelas bekas pramugari ini.

Syarikat milik Raja Ilya ini menggunakan nama Bintang Klasik.

Diri Sendiri Jadi Bahan Uji Kaji

Menyedari hakikat bahawa untuk menjual sesuatu produk kecantikan, ia perlu diuji terlebih dahulu, maka Raja Ilya sanggup menjadikan dirinya sendiri sebagai bahan uji kaji kepada produk yang bakal dihasilkan oleh syarikatnya.

“Sebelum beri orang lain cuba, Ilya sendiri yang menggunakannya. Ilya mahu menguji sendiri produk ini pada diri Ilya.

“Setakat ini, dah hampir setengah tahun produk ini keluar masuk makmal untuk ditambah baikkan. Ilya sanggup menunggu lama semata-mata untuk benar-benar berpuas hati dengan produk yang dihasilkan.

“Lepas itu, barulah Ilya berani memberikannya kepada beberapa orang kawan untuk mereka cuba pula. Ilya mahu lihat kesan sebelum memakai dan sesudah menggunakan produk ini,” katanya.

Meskipun produknya sudah hampir siap, namun Raja Ilya masih belum mahu memberitahu apakah jenis produk kecantikan yang dihasilkannya.

“Biarlah saspens sikit… Tunggu sampai produk kecantikan Ilya ini sedia untuk dipasarkan tidak lama lagi,” ujarnya mengakhiri perbualan kami.

Sementara itu, Raja Ilya bakal muncul dalam program realiti, Awak Kat Mana yang membawanya ke Paris. Program ini akan mula disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) pada jam 9.30 malam, 13 Ogos nanti.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .