Perwakilan sayap parti Umno di Pagoh, Johor, tidak mempercayai yang penderma dana berjumlah RM2.6 bilion dari Timur Tengah mahu wang sebanyak itu dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pada pembukaan mesyuarat perwakilan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno Pagoh hari ini, ketika ucapan perasmian Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, kebanyakan mereka menjerit "tidak" apabila beliau berkata perkara itu dimaklumkan Najib kepadanya.
"Saya tanya, duit itu masuk ke mana, (Najib jawab) akaun saya. Kenapa masuk akaun you? Orang nak bagi derma itu suruh masuk akaun saya," katanya mengulangi dialog Najib kepadanya sebelum ini.
"Percaya atau tidak?" Muhyiddin mengajukan soalan kepada perwakilan, dan disambut dengan teriakan "tidak".
"Kena percaya, orang sudah beritahu itu percaya sahajalah... takut lepas ini lembaga disiplin (Umno) panggil saya," katanya.
Muhyiddin yang digugurkan daripada Kabinet Najib pada hujung bulan lalu berkata, beliau dimaklumkan oleh Najib, penderma dana berjumlah RM2.6 bilion itu mahukan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui dana berkenaan adalah derma, seperti mana dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
sumber
No comments: