» » Najib Razak diminta henti jadikan Malaysia bahan lawak jenaka masyarakat antarabangsa


Dua hari lalu penulisan saya mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya perpada-pada dalam usaha 'menyelamatkan dirinya'. 

Dunia sudah tahu. 

Izinkan undang-undang negara berperanan menentukan kebenaran dan keadilan.

Diri ini saja sudah banyak menulis tentang 1MDB. 

Naik bosan juga dan lebih bosan adalah pembaca. 

Di sisi rakyat awam, pastinya lebih lagi. 

Meluat, menyampah dan marah. Hari ini saya menulis lagi.

Kali ini untuk mengingatkan Najib, henti jadikan Malaysia bahan lawak jenaka dunia. 

Terlalu lama sangat isu 1MDB mengambil pentas utama. 

Memang luar biasa. 

Lazimnya isu akan datang dan pergi. 

Jarang-jarang dan kadang-kadang yang boleh bertahan lama seumpama PKFZ dan NFC. 

Tetapi 1MDB bakal memecah semua rekod lama.

Sampai bila? Sampai pengerusi penasihatnya tumbang! 

Pada 17 November, 2014 dalam kolum saya di TMI ini, berjudul 1MDB: 

Najib mangsa pertamanya menyebutkan "..saya ramalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan tumbang akibat 1MDB".

Sememang hebat anak muda yang panggilan glamournya Jho-Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho ini. 

Dia semacam 'financial wizard', tetapi menyalahgunakan kepakarannya. 

Kalau anda mengikuti seluruh rentetan dan pendedahan sejak 1MDB pertama kali didedahkan The Edge, majalah yang digantung 3 bulan itu, anda faham maksud saya.

Namun setelah 6 tahun beroperasi, (sejak penubuhan 2009), kejayaan 1MDB hanya mampu mengumpul RM42 bilion hutang korporatnya. 

Amat malang, pelbagai aset diperoleh dalam bidang tenaga dan hartanah, gagal menjana cash-flow atau 'revenue' untuk melunas hutangnya.

Lebih mengecewakan, 1MDB tidak henti-henti terpalit dengan pelbagai kontroversi. Hari ini, saya tegaskan Jho Low, dalam bahasa anak muda, 'kencing rakyat Malaysia'. 

Terlalu banyak urus niaga culas dan curang didedahkan.

Kali ini, saya ingatkan Najib berhenti menjadikan negara kita, bahan jenaka dan lawak dunia atau 'a laughing stock and object of derision'. 

Apabila SPRM semacam dipaksa membuat pendedahan RM2.67 bilion yang dipindahkan ke akaun peribadi perdana menteri adalah sumbangan penderma, dunia terbahak-bahak tertawa.

Pendedahan itu amat melucukan. Tidak kurang juga yang terkejut. RM2.6 bilion bukan jumlah yang sedikit! 

Spontan, karikatur menarik dan kreatif tampil dalam media sosial. Pengerusi SPRM lantas bercuti. 

Warga SPRM menunaikan 'solat hajat' memohon 'semoga Allah lindungi SPRM'.

Di sisi yang lain pula, apakah terjawab selesai segala teka-teki dan dakwa-dakwi tentang beraneka macam jenayah urusniaga 1MDB, rasuah atau songlap wang (embezzlement) yang dituduh ke atas Najib? 

Jangan bising-bising, semuanya dermalah! 

Nah, tatkala terjawab semuanya, maka bolehkah kita semua kembali bertugas seperti sediakala?

Waduh! Apakah begitu reaksi rakyat yang diharapkan Najib? 

Oh tidak! Tidak bijaklah (baca dungulah) perdana menteri Malaysia ini, kalau begitu harapannya. 

Beliau bermimpi di siang hari. Dengan pengakuan SPRM, lebih banyak persoalan kini terbit. 

Semakin serabut dan kusut pemikiran rakyat akibat 'pengakuan' SPRM itu.

Pertama yang menerjah fikiran waras rakyat ialah 'Mengapa Najib tidak beritahu dan isytihar saja sumbernya dana itu 'derma" sedari awal terbit pertikaian laporan WSJ itu? 

Bukankah mudah begitu? Beritahu siapa penderma budiman itu? Berapa jumlahnya? 

Mengapa mereka bermurah hati sangat? Apa janji Najib kepada mereka?

Tidak perlu 'pengampu' seumpama Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Rahman Dahlan termasuk yang cerdik sedikit seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Nur Jazlan Mohamed turut 'terkorban' untuk pertahan bos mereka. Kasihan. 

Tidak perlu juga seluruh Umno berantakan kerana rakyat juga akan jadi mangsa akhirnya nanti. Semua akan turut menjadi korban.

Ya, mengapa Najib tidak bertindak pantas dan tuntas, supaya ditutup segala spekulasi dan tuduhan buruk terhadap dirinya, 1MDB dan kawannya Jho Low? 

Jawapannya sangat jelas. 'ilham' ini datangnya kemudian sebagai satu 'after thought'. Pendeknya, ia skrip yang diubah dan tidak ada dalam dialog asal.

Kalau sudah difikirkan awal-awal, tidak perlulah Najib 'terlanjur'. 

Tidak perlulah Najib seumpama 'harimau cedera', apabila dikatakan 'kertas pendakwaan' sudah disiapkan bekas peguam negara Tan Sri Gani Patail itu. 

Kerana hal hendak mempertahankan Jho Low dan 1MDB ini, Najib pecat timbalannya, peguam negara yang sangat setia padanya dan lakukan segala perkara 'pelik' yang hanya dia saja tahu sebabnya.

Tidak perlu juga teori 'konspirator antarabangsa' untuk 'guling' PM yang sah. 

Tidak perlu guna peruntukan 124 Kanun Keseksaan, kononnya yang 'menjejaskan demokrasi berparlimen'. 

Najib wajar hentikan segala kerja gila menggeledah pegawai SPRM dan ugut BNM!

Hentikan semua tindakan yang menjerumuskan negara ke kancah kehancuran dan kemusnahan yang 'sempurna'. 

Saya ulangi, kita di ambang menjadi negara 'parya' yang ditertawa dunia, 'a failing state that is fast becoming a failed state'. 

Celaka apa yang kita undang ini, hanya kerana hendak menyelamatkan 1MDB dan Jho Low. 

Usah bicara bab ekonomi dan kewangan negara. 

Negara sedang mengalami 'kehilangan kepercayaan' masyarakat pelabur yang semakin parah.

Maka sekali lagi ditegaskan. 

Izinkan semua pihak berwajib khasnya pasukan petugas khas melunaskan tanggungjawab mereka masing-masing. 

Undang-undang manakah yang pesalah langgar. 

Apakah Akta Penggubahan Wang Haram atau Amla? 

Apakah pecah amanah, CBT, peruntukan Akta SPRM atau apa jua?

Tidak kira siapa, semua mesti diadili. Izinkan PAC melangsungkan siasatan mereka. 

Peguam negara harapnya akan melunaskan tangungjawab perlembagaannya dengan bertindak jujur, berani dan tuntas. 

Anda sedang diperhatikan. 

Kami, rakyat biasa akan berhimpun seperti biasa. 

Apa pun formula penyelesaian transisi bakal disambut rakyat kerana negara sudah sekian lama dalam krisis tidak berhujung. 

Rakyat sangat berhajatkan satu harapan baharu.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .