Tidak menyangka sama sekali, Pengarah Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Rohaizad Yaakob bekerja seperti biasa semalam dan berada dalam mesyuarat di Kuala Lumpur apabila menerima panggilan daripada pihak pengurusan yang mengarahkannya untuk kembali ke pejabat.
"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Mereka meminta saya kembali ke pejabat. Ketika itulah saya mengetahui yang saya dipindahkan daripada SPRM," kata Rohaizad dalam temu bual telefon bersama The Malaysian Insider.
Perkhabaran itu diterima pada 5 petang dan perintah pemindahan dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
"Saya menerimanya (perintah pemindahan). Saya setia kepada SPRM. Tetapi saya menerimanya kerana ia adalah arahan. Saya tidak tahu apa tugas saya di sana. Kita akan lihat," katanya.
Katanya, berita pemindahan itu satu kejutan kepada beliau dan juga pegawai-pegawainya. "Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan kepada mereka. Ia mengejutkan kepada mereka dan juga saya," katanya tenang.
Rohaizad, berkhidmat dengan SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) selama 30 tahun, kali terakhir dilihat di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 7 malam bagi mengucapkan selamat tinggal kepada pegawai-pegawainya.
Beliau dibawa ke kereta Proton Waja oleh pegawai yang melindunginya daripada jurugambar dan soalan media yang tidak menyedari perintah pemindahan sehingga saat-saat akhir.
Selain Rohaizad, Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin juga dipindahkan daripada badan anti-rasuah itu.
Mereka dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri(JPM) berkuat kuasa serta merta. Kedua-duanya dijangka melaporkan diri di jabatan itu pada hari Isnin, kata sumber.
Bahri sebelum ini sangat lantang dalam komen beliau menentang tindakan pihak polis yang menyiasat SPRM berhubung dakwaan kebocoran dokumen sulit kerajaan dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Difahamkan kedua-dua mereka dipindahkan kerana kenyataan “keras” mereka berikutan serbuan polis.
Difahamkan juga, ia turut disebabkan bagaimana SPRM bertindak balas kepada "serangan berterusan" terhadap badan anti-rasuah itu dan pendekatan lembut agensi itu kepada pemimpin pembangkang apabila mereka melawat ibu pejabat mereka pada Khamis.
Sumber berkata, kedua-dua mereka dipindahkan kerana "isu disiplin".
Satu-satunya perkara yang ingin disampaikan Rohaizad kepada pegawai-pegawai SPRM adalah: "Jalankan tugas anda seperti biasa kerana anda mempunyai tanggungjawab dan juga amanah rakyat dalam menjalankan tugas. Teruskannya."
sumber
No comments: