» » 'Derma' yang diterima oleh Najib Razak sebanyak RM2.6 bilion adalah jelas rasuah


Derma berjumlah RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui akaun peribadinya adalah satu bentuk rasuah, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli. 

Beliau berkata, takrifan Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menetapkan Najib adalah penjawat awam yang tidak dibenarkan menerima “suapan” dalam apa jua bentuk sekali pun.

Naib presiden PKR itu berkata, takrifan “suapan” di bawah akta ini termasuklah hadiah dan derma apabila hadiah dan derma itu diberikan untuk mendapat balasan.

"Seksyen 50 Akta SPRM menetapkan sekiranya seorang penjawat awam memberi atau menerima suapan, penjawat awam itu melakukan satu rasuah," kata ahli Parlimen Pandan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau turut berkata Seksyen 16 Akta SPRM menetapkan seseorang yang didapati bersalah melakukan rasuah boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.

"Tidak ada rakyat Malaysia yang waras boleh menerima penjelasan Najib menerima derma sebanyak RM2.6 bilion daripada seseorang untuk membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-13 Barisan Nasional (BN) tanpa penderma itu mendapat sebarang balasan.


"Oleh itu, derma yang disebut-sebut oleh pimpinan Umno sekarang ini boleh digolongkan sebagai suapan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengarahkan anggota PKR seluruh negara, serta rakyat biasa, membuat laporan kepada SPRM, susulan kenyataan badan pengendali membanteras rasuah itu yang mengatakan wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu adalah derma politik.

Katanya, kenyataan SPRM semalam yang mengesahkan sejumlah RM2.6 bilion dipindahkan ke akaun peribadi Najib sebagai derma politik mengundang lebih banyak persoalan mengenai rasuah dan pecah amanah yang perlu disiasat.

"Saya ingin mengingatkan Najib dan rakyat Malaysia, skop siasatan pasukan petugas khas yang dianggotai oleh SPRM, Bank Negara Malaysia, polis dan Jabatan Peguam Negara adalah untuk menyiasat secara keseluruhan urus niaga 1MDB bagi memastikan tidak ada pecah amanah atau salah guna kuasa.

"Ini meliputi semua tuduhan yang dibawa sebelum ini termasuklah mengenai wang 1MDB dipindahkan ke akaun milik individu yang rapat dengan Najib seperti Low Taek Jho, sehinggalah kegagalan 1MDB memenuhi komitmen kewangannya untuk membayar hutangnya yang mencecah RM42 bilion," katanya.

Urus niaga pemindahan wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib katanya, hanyalah satu tugasan kecil yang kebetulan mendapat perhatian rakyat apabila The Wall Street Journal mendedahkan mengenainya.

"Kenyataan SPRM semalam tidak sedikit pun menjawab soalan-soalan penting yang perlu disiasat pasukan petugas itu yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk merungkaikan semua persoalan mengenai 1MDB," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .