» » Pemilihan UMNO bakal jadi medan sebenar uji kepercayaan ahli pada Najib Razak yang dihujani skandal bertimbun


Jalan terbaik untuk Datuk Seri Najib Razak membuktikan dirinya memiliki kepercayaan ahli Umno ialah dengan mengadakan semula pemilihan parti yang sebelum ini ditangguhkan, kata pemimpin Umno.

Mendapat mandat baru daripada ahli juga akan membantu menghapuskan sebarang rasa tidak puas hati dalam Umno yang makin menjadi-jadi selepas Najib memecah tradisi dengan menggugurkan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.

Walaupun Majlis Tertinggi (MT) parti memutuskan menangguhkan pemilihan yang sepatutnya dijadualkan tahun depan, ia masih boleh diadakan jika terdapat permintaan mencukupi daripada 199 bahagian parti itu.

Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata senario politik kini sudah berubah susulan pemecatan Muhyiddin daripada Kabinet.

Ahli di peringkat akar umbi berasa mereka menyumbang ke arah siapa yang sepatutnya menjadi timbalan perdana menteri, kerana mengikut konvensyen Umno dan Barisan Nasional (BN), jawatan itu dipegang timbalan presiden parti.

"Dulu, 140,000 perwakilan diberi hak memilih presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

"Apabila beliau dilantik, presiden Umno adalah pengerusi BN dan beliau menjadi perdana menteri," katanya kepada The Malaysian Insider.

Aziz, yang juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, persoalan yang timbul sekarang ialah, rakyat melihat tindakan Najib "tidak adil" kerana menyingkirkan Muhyiddin berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Rakyat merasakan tidak adil beliau membuat keputusan begitu. Kerana, 1MDB ini masalah kepada kerajaan dan Umno, masalah yang memberikan persepsi cukup negatif kepada rakyat," katanya.

Pemecatan Muhyiddin berbeza dengan kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana bekas timbalan perdana menteri tersebut dikaitkan dengan isu moral dan peribadi.

"Pemecatan Anwar kerana peribadi dia, moral dia, tapi ini daripada segi isu," katanya.

Menjelaskan proses untuk membawa usul supaya pemilihan diadakan, Aziz berkata, ia bermula dengan usul di peringkat cawangan yang kemudiannya dibawa ke mesyuarat bahagian.

"Sekiranya usul pemilihan itu mendapat sokongan majoriti, ia kemudian akan dibawa ke MT untuk dipertimbang dan diputuskan," katanya.

Ketika ini sedang berlangsung mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian yang dijangka mengambil masa selama hampir sebulan.

Jika usul ini diluluskan, Perhimpunan Agung Umno tahun ini dijangka panas dengan perbahasan menyentuh kemelut dalaman parti ketika ini.

Katanya, langkah tersebut mampu menghilangkan rasa tidak percaya terhadap kepimpinan Najib yang hanya menyebabkan keretakan dalam parti.

"Jika kita tidak (adakan pemilihan), kita habis. Pemberontakan di bawah ini tidak baik untuk Umno.

"Dan tidak perlu lagi ada perasaan tidak percaya, kecil hati dan marah di peringkat akar umbi," katanya.

Lebih penting lagi, Najib tidak lagi perlu dibebani dengan pelbagai masalah dan boleh menumpukan kepada persediaan pilihan raya umum, kata Aziz.

Sementara itu, bekas naib ketua Pemuda Umno Johor Datuk Khairul Anuar Rahmat pula melihat langkah itu penting untuk rakyat membuat pertimbangan khususnya dalam pilihan raya nanti.

"Rakyat juga ingin melihat sama ada Umno mengekalkan status quo atau berlaku perubahan.

"Jika status quo, mungkin Umno akan dapat keputusan pilihan raya yang sama. Tapi kalau ada perubahan, mungkin berbeza keputusannya," kata Khairul.

Katanya, sudah tiba masa Umno kembali kepada suara akar umbi dan mengembalikan hak kepada ahli Umno untuk memilih pemimpin.

Ahli Umno Asrul Esreen Mohd Salleh berkata, Najib perlu berani mendengar suara akar umbi bagi mengembalikan kepercayaan ahli terhadap integritinya.

"Kalau presiden berani, dia mesti dengar suara akar umbi. Mungkin ini sedikit sebanyak akan mengembalikan keyakinan ahli Umno," kata ahli Umno Bahagian Tenggara, Johor itu.

Aktivis parti Umno Kedah, Ramli Mohd Yunus pula tidak menolak kemungkinan usul tersebut dibawa ke perhimpunan agung nanti memandangkan dengan pindaan kepada perlembagaan parti pada 2009 lalu, 140,000 ahli kini boleh bersuara.

"Pasti sukar untuk menyekat usul sebegini," katanya.

Pindaan perlembagaan itu memberi kuasa kepada 146,500 perwakilan bahagian untuk memilih berbanding hanya 2,510 perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .