Sejarah menunjukkan himpunan jalan raya tidak dapat menjatuhkan seseorang pemimpin kerajaan dengan mudah.
Namun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyahut cabaran itu dengan pertama kali menganjurkan perhimpunan 34 jam tanpa henti mendesak perubahan sistem pentadbiran negara yang semakin korup di tangan Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi Bersih 4 Maria Chin Abdullah berkata, perhimpunan itu akan bermula pada pukul 2 petang 29 Ogos dan berakhir 11.59 malam 30 Ogos ini, bertempat di beberapa lokasi utama di Kuala Lumpur.
Ia sebagai mesej rakyat kepada perdana menteri mengingatkan yang pentadbirannya yang penuh dengan penyelewengan dan rasuah perlu berakhir.
"Himpunan 2 hari berterusan sehingga malam lebih mencabar. Kali ini suara kami perlu didengari," katanya dalam temu bual dengan The Malaysian Insider.
"Kita bercakap tentang perubahan (sistem) kerana walaupun Najib meletakkan jawatan esok dan ada pemimpin lain yang menggantikannya, tidak kira Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, tiada jaminan perubahan akan berlaku.
"Kita akan selamanya ditindas. Media, kebebasan pilihan raya, penjenayah sengaja dibiarkan bebas. Jika kerajaan baharu dibentuk, tuntutan kami masih sama jika sistem itu masih tidak berubah," kata Maria.
Beliau berkata, perhimpunan itu akan diadakan bagi menyampaikan kepada mereka yang memegang kuasa, rakyat sebenarnya mahukan perubahan.
"Kami mahukan perubahan sistem yang boleh membawa keluar negara ini daripada krisis politik dan ekonomi yang semakin teruk," katanya.
sumber
No comments: