Satu garis panduan yang bersesuaian perlu dirangka bagi mengawal selia pendanaan politik di negara ini, kata pertubuhan bukan kerajaan Centre for a Better Tomorrow (Cenbet), susulan penjelasan mengenai wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun perdana menteri sebagai sumbangan derma.
Presiden bersama Cenbet yang juga bekas senator MCA, Gan Ping Sieu berkata berita tentang kemasukan berbilion ringgit dari luar negara ke dalam akaun persendirian individu menimbulkan kesangsian ia mungkin mendedahkan negara kepada campur tangan asing, aktiviti pembersihan wang haram atau risiko terhadap keselamatan negara.
"Buat pertama kalinya, kita tahu tentang derma politik yang mencecah berbilion ringgit, dipindahkan ke akaun persendirian.
"Ini menimbulkan curiga akan kemungkinan adanya muslihat atau niat sebenar penderma berdasarkan jumlah yang sebegitu besar.
"Amat luar biasa bagi entiti luar negara menderma jumlah sebegini besar. Ia menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur pembersihan wang haram, campur tangan asing atau risiko keselamatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas menteri belia dan sukan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin yang menjelaskan tentang wang RM2.6 bilion dalam akaun Datuk Seri Najib Razak yang bersumberkan "derma".
"Pendedahan telus tentang sumber dana politik dan cara ia digunakan mampu membantu mengurangkan risiko pertembungan kepentingan ahli politik yang berkuasa.
"Inilah antara sebab perlunya ada sistem pendanaan politik yang telus," kata Gan.
sumber
No comments: