» » 'Jom turun ke jalanraya untuk sertai Bersih 4.0 kerana itu sahaja cara efektif untuk tonjolkan kebenaran'


Anak muda digesa mengetepikan telefon bimbit dan turun berhimpun di jalanan kerana itu cara yang lebih efektif untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan, berbanding hanya berkicau di media sosial, kata pelajar undang-undang dan aktivis Adam Adli Abd Halim menjelang perhimpunan Bersih 4 pada 29 Ogos ini.

Katanya, demonstrasi bukan satu perkara yang negatif kerana ia terbukti membawa perubahan di seluruh dunia.

Bekas mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, demonstrasi merupakan amalan demokrasi untuk menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa apabila semua saluran lain dinafikan.

Adam berkata, media sosial merupakan platform terbaik bagi anak muda untuk menyuarakan pandangan mengenai keadaan negara pada ketika ini, namun rangkaian tersebut boleh ditutup pihak berkuasa dan menteri bertanggungjawab yang memilih untuk mengabaikan mesej disampaikan.

"Pihak berkuasa boleh memilih tidak membaca apa yang disiarkan atau mereka juga boleh menghentam semula melalui media arus perdana.

“Tetapi apabila rakyat keluar berhimpun, ia sukar untuk dibendung dan dikekang.

"Saya benar-benar berharap anak muda akan mengambil peluang ini. Jika mereka tidak lalukannya, maka mereka tidak sepatutnya mengeluh apabila keadaan menjadi bertambah buruk... ini kerana apabila mereka diberi peluang bercakap, mereka tidak melakukannya," katanya kepada The Malaysian Insider di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Beliau berkata, Bersih 4 yang akan dianjurkan semalaman dari 29 Ogos hingga hari berikutnya di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu, adalah satu platform untuk anak muda menyatakan pendirian mengenai isu yang memberi kesan kepada negara, walaupun mereka tidak mempunyai kepentingan dalam parti politik.

"Perhimpunan ini bukan mengenai parti atau menyokong mana-mana individu. Bagi mereka yang tidak menyatakan pendirian dalam perhimpunan sebelum ini, mereka perlu mengambil peluang ini. Ini masanya.

"Semua orang bercakap mengenai banyak isu seperti skandal 1MDB (1Malaysia Development Bhd). Bagi parti politik, mereka perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan jumlah pengundi tetapi bagi anak muda, ia mengenai kebimbangan.

"Perhimpunan ini akan menjadi tempat untuk menunjukkan kekuatan anak muda Malaysia. Ia bukan bertujuan untuk menunjukkan keberanian mengambil bahagian dalam perhimpunan tetapi keberanian untuk menyatakan pendirian," katanya kepada The Malaysian Ahad lepas.

Tujuan perhimpunan Bersih 4 adalah untuk mendesak pembaharuan institusi dan juga untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Kumpulan The Bangsart membuat persembahan pada pelancaran Bersih 4 di Petaling Jaya, Jumaat lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 16 Ogos, 2015.Pentadbiran dan kepimpinan Najib menerima serangan akibat skandal 1MDB dan RM2.6 bilion yang diterimanya sebagai derma, sebahagian besar wang itu dipindahkan ke akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya umum 2013.

"Perhimpunan Bersih sentiasa menjadi platform untuk perubahan. Perhimpunan selama 34 jam kali ini hanya mencerminkan betapa seriusnya keadaan sekarang.
"Bagi saya, perhimpunan ini juga akan menguji betapa komitednya masyarakat kita," kata Adam.

Perhimpunan satu malam itu akan menampilkan aktiviti seperti pidato umum, persembahan dan bengkel.

Ia dilancarkan secara rasmi pada Jumaat di Petaling Jaya dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menggelarnya sebagai “undi tidak percaya kepada perdana menteri”.

Maria berkata, Bersih juga sudah memberikan notis rasmi kepada pihak polis mengenai perhimpunan tersebut, seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Adam menjangkakan polis akan bertindak pada hari perhimpunan tersebut dengan menahan peserta perhimpunan, termasuk dirinya sendiri seperti perhimpunan #TangkapNajib di Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu.

"Demonstrasi itu dianjurkan pada skala yang lebih kecil daripada Bersih 4 nanti, tetapi kami sudah jangka bagaimana pihak polis akan bertindak balas dengan mengambil langkah yang agak kejam, seperti menangkap dan menyiasat peserta perhimpunan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan,” katanya.

Seksyen ini dikenakan kepada individu terlibat dengan aktiviti mengancam demokrasi berparlimen dan mereka yang disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun.

"Apa yang berlaku menunjukkan demonstrasi adalah sesuatu ditakuti kerajaan.
"Ironinya... Malaysia gemar memuji penunjuk perasaan di tempat lain sebelum ini tetapi apabila berlaku di negara sendiri, kerajaan mengatakan tidak kepada demonstrasi," katanya.

Adam dan 2 anak muda lain Syukri Ab Razab dan Mandeep Singh ditahan pada 31 Julai selepas sidang media diadakan penganjur Demi Malaysia, di mana mereka mengumumkan hasrat mengadakan perhimpunan #TangkapNajib.

Mereka dibebaskan selepas mahkamah tinggi mengurangkan tempoh reman.

Pada hari perhimpunan itu sendiri, polis menahan 29 lagi orang awam, dengan pihak berkuasa dilaporkan mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan sebelum demonstrasi itu bermula.

"Oleh itu, kita boleh menjangkakan langkah yang sama akan diambil. Tetapi, jika polis menahan orang penting yang menggerakkan demonstrasi, saya rasa Bersih 4 akan diteruskan.

"Ia berlaku sama seperti ketika Bersih 2, di mana berpuluh individu penting ditahan. Ia masih diteruskan dan menjadi satu perhimpunan yang berjaya," kata Adam yang baru saja kehilangan ayahnya Abd Halim beberapa bulan lalu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .