» » 'Jika duit Najib Razak RM2.6 bilion digunakan untuk pilihan raya lalu maka PRU13 batal dan tidak sah'


PKR hari ini mempersoalkan adakah dana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang selama ini diagihkan kepada rakyat datangnya daripada derma RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin berkata, derma RM2.6 bilion itu bukan saja meragukan dalam isu BR1M malah ia mungkin berkait dengan rombakan Kabinet, penangguhan pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pertukaran peguam negara.

“Ingin saya bertanya apakah BR1M juga datang daripada RM2.6 bilion yang disumbangkan daripada penderma tanpa nama?

“Menjadi satu bahan ketawa satu Malaysia apabila perdana menteri menyalahgunakan kuasanya apabila beliau meminta ahli Umno jika mahukan BR1M ketika menjalankan mesyuarat tahunan Umno Bahagian Pasir Gudang 2 hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib bukan saja mencurigakan malah lebih merisaukan apabila terdapat beberapa menteri badut memperbodohkan rakyat mendakwa isu berkenaan bukan isu besar.

Katanya, orang ramai perlu terus menuntut penjelasan malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu telus menjalankan penyiasatan mereka tanpa gangguan polis atau agensi lain seperti yang berlaku sebelum ini.

“Jika RM2.6 bilion sudah digunakan untuk pilihan raya lalu, maka PRU13 batal dan tidak sah.

“Tiada siapa percaya cerita sumbangan kamu Najib,” katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Ampang.

Najib pada Ahad menerima sambutan lesu apabila berkunjung merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Pasir Gudang yang dihadiri kira-kira 700 perwakilan.

Perwakilan seakan tidak memberikan tumpuan semasa ucapan Najib, lebih-lebih lagi ketika beliau menyentuh isu membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan BR1M.

Malah semasa menyentuh isu BR1M, perwakilan di dalam dewan juga seakan tidak memberikan tumpuan penuh kepada ucapannya.

"Tuan-tuan nak BR1M lagi ke tidak," katanya dan disahut: "Tidak" oleh sebahagian perwakilan.

"Kalau tidak saya batalkan BR1M, ada cara lain ke lebih baik?," soal Najib kepada perwakilan dalam ucapannya.

Malah, ketika menyentuh isu membabitkan skandal oleh pentadbiran kerajaan terdahulu, perwakilan turut mendesaknya mendedahkan skandal tersebut, namun Najib tidak mendedahkannya.

"Dalam sejarah kita banyak lagi isu, 1MDB belum ada kerugian.

"MAS kita dah tampung berapa bilion, penjualan saham MAS ini pun ada isu, nak sebut saya boleh sebut.

"Kalau saya sebut saya membuka pekung di dada, kalau tak sebut saya pula yang dipersalahkan," katanya, dan disahut:"Bukalah!" oleh perwakilan yang hadir.

Kehadiran Najib ke Johor pada minggu lalu adalah pertama kali sejak beliau menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri daripada rombakan Kabinet yang dilaksanakannya hujung bulan lalu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .