» » Duit RM2.6 bilion yang masuk dalam akaun peribadi Najib Razak bukan dalam bidang kuasa Bank Negara


Menyiasat sumbangan derma RM2.6 bilion yang disalurkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM), kata Gabenor Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, ketika soalan timbul sama ada bank pusat itu mengesan pemindahan wang pada jumlah yang besar itu.

Zeti enggan terlibat di dalam perdebatan sama ada BNM mengesan atau dimaklumkan mengenai pemindahan wang itu, yang didakwa dibuat seorang penderma dari Timur Tengah.

"(Derma itu) tidak berada di bawah bidang kuasa kami. Bank pusat meneliti sebarang pelanggaran undang-undang yang di bawah bidang kuasa kami. Kami juga membantu agensi lain yang menyiasat pelanggaran undang-undang mereka.

"Tetapi kami tidak boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana individu," kata Zeti hari ini ketika ditanya pemberita sama ada BNM menyiasat sumber wang itu dan sama ada pemindahan itu sendiri mencetuskan amaran merah.

Pada 3 Ogos, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengisytiharkan pemindahan dana sebanyak RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib di sebuah bank tempatan itu adalah sumbangan derma politik.

SPRM berkata, wang itu bukan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau syarikat berkaitan dengannya seperti didakwa sebelum ini.

Zeti berkata, di bawah undang-undang itu, bank dikehendaki melaksanakan sendiri sebarang usaha yang wajar dan menentukan sama ada sebarang pemindahan wang itu mencurigakan atau tidak.

Pemindahan yang dicurigai akan dilaporkan kepada BNM.

"Kami dilarang daripada menceroboh masuk sebarang akaun tertentu dan terpulang kepada bank untuk melaporkan kepada kami sama ada mereka mengesan sebarang transaksi yang mencurigakan," Zeti berkata ketika ditanya sama ada BNM beranggapan pemindahan wang sebesar itu mencurigakan.

Ditanya jika ada bank yang membuat laporan ke atas urus niaga yang sebegitu, Zeti berkata: "Kami sedang menyiasat pematuhan institusi kewangan terhadap keperluan ini."

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .