Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pengarah Jasa Datuk Dr Puad Zarkashi perlu bersedia berdebat dalam isu RM2.6 dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak bagi membuktikan mereka pembela perdana menteri, kata Ku Seman Ku Hussain.
Penolong pengarang akhbar milik Umno edisi Ahad, Mingguan Malaysia itu berkata Salleh dan Puad memutar belit kenyataannya yang sama sekali tidak mempersoalkan dana RM2.6 bilion itu datang daripada sumber rasuah.
“Kedua-dua panglima ini sama sekali tidak menyentuh isu yang saya bangkitkan iaitu derma RM2.6 bilion itu bukan milik Umno. Hujah saya seluruh kepimpinan tertinggi termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tahu tentang kewujudan derma itu.
“Saya mencabar sama ada Salleh (menteri RTM) atau Puad supaya mengatur debat dengan saya mengenai isu fundamental derma RM2.6 bilion yang saya anggap bukan kepunyaan Umno ini.
“Kalau disiarkan secara langsung di RTM lagi bagus supaya mereka lebih kelihatan sebagai pembela Najib. Saya sanggup untuk berdebat satu lawan dua dengan Salleh dan Puad,” katanya menerusi blognya, kayangdailypost semalam.
Ku Seman berkata kedua-dua “panglima” Najib itu tidak menjawab persoalan yang diajukannya menerusi rencana yang disiarkan Mingguan Malaysia pada Ahad sebaliknya membangkitkan isu derma RM2.6 bilion itu sebagai rasuah.
Katanya, jawapan Salleh dan Puad membuatkan rakyat melihat pemimpin kanan Umno sebagai terlalu dungu hingga tidak tahu apa yang ada dalam akaun parti.
“Mereka ini kaki spin, sebab itulah cybertrooper yang diketuai Puad hanya layak dibaca pengampu Umno saja.
“Cuba cari dalam tulisan saya, adakah ayat yang membawa maksud saya mempertikaikan derma itu sebagai rasuah? Saya hanya mengatakan derma itu sebagai hak peribadi.
“Yang saya bangkitkan adalah derma itu kepunyaan Najib. Kalau dana politik Umno, sudah tentu Umno tahu sejak awal lagi,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu tidak perlu menyembunyikan sesuatu yang tidak cerdik dengan tindakan tidak cerdik.
Katanya, Salleh dan Puad seharusnya menjawab soalan cepu emas anak menteri besar Johor dulu sebelum menjawab tulisannya.
“Sebenarnya apabila membaca kenyataan mereka di Utusan Malaysia hari ini (semalam) yang cuba merendahkan hujah saya, tiba-tiba saya hilang hormat kepada mereka. Mereka cuba menonjolkan diri sebagai pembela Najib tetapi pada masa sama tidak mempunyai kecerdikan yang tinggi.
“Maka akhirnya Puad dan Salleh hanya boleh disamakan dengan juak-juak Umno yang sudah disihirkan supaya menjadi tukang angguk.
“Sama ada mereka mahu menjadi pembela buta dan tuli, itu soal mereka tetapi jangan menggunakan kuasa untuk menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang betul,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia ditegur Umno kerana lantang mempersoalkan derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib sebagai dana politik, melalui tulisan Ku Seman.
Puad berkata, Ku Seman sepatutnya menjelaskan kepada pembaca tiada peraturan yang menghalang seseorang individu menggunakan akaun peribadi bagi tujuan dana politik.
Puad berkata, jika benar Najib mahu menggunakannya untuk kepentingan peribadi, beliau pasti menyimpannya di akaun peribadi di luar negara dan bukan dibawa balik ke Malaysia.
Ku Seman melalui artikel "Derma RM2.6 bilion dan Integriti Umno" pada Ahad mempersoalkan integriti parti itu dalam menjelaskan perkara sebenar isu derma RM2.6 bilion ke akaun Najib.
Katanya, pada masa sama wujud tangan ghaib yang menghalang siasatan kes 1MDB apabila pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Salleh pula dilaporkan berkata, Utusan Malaysia tidak sepatutnya mempersoalkan lagi dana politik yang diterima Najib kerana ia sudah disahkan bukan rasuah oleh SPRM dan Najib.
Katanya, apa yang penting adalah penjelasan berterusan kepada ahli parti hingga ke peringkat akar umbi untuk mengelakkan salah faham atau kekeliruan.
"Apa yang ditimbulkan penulis dalam rencana berkenaan adalah pandangan peribadi beliau berdasarkan dapatan dan kefahamannya mengenai maksud dana parti, tetapi SPRM sudah jelaskan ia tiada unsur rasuah.
"Malah penderma dana tersebut juga sudah memberi penjelasan," katanya dipetik Utusan Malaysia melalui kenyataan, semalam.
sumber
No comments: