» » Boikot usaha kawal dana politik selagi Najib Razak tak isytihar harta


Sebarang usaha menggubal undang-undang mengawal pembiayaan politik perlu dihentikan selagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anggota Kabinet tidak mengisytiharkan harta mereka, kata Rafizi Ramli.

Setiausaha agung PKR itu berkata, isu penggubalan undang-undang mengawal dana parti politik itu timbul ekoran keterdesakan Najib berdepan dengan kemarahan rakyat akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau.

"Saya menyeru semua pihak yang terbabit supaya memboikot sebarang usaha untuk menggubal undang-undang yang mengawal pembiayaan politik selagi perdana menteri dan keseluruhan anggota jemaah menteri tidak mengisytiharkan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan seperti yang pernah saya buat.

"Hanya selepas pengisytiharan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan dibuat oleh Najib dan anggota jemaah menteri, barulah rakyat boleh membincangkan satu kerangka pembiayaan politik yang telus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi yang juga naib presiden PKR itu berkata, selepas pengisytiharan harta itu dibuat, mana-mana menteri yang terbukti mempunyai harta dan berbelanja melebihi pendapatan perlu didakwa dan dihukum.

Katanya, isu sebenar ialah kekayaan peribadi pimpinan politik yang tidak sepadan dengan gaji mereka yang disahkan Najib sendiri, yang mengaku wang RM2.6 bilion itu masuk ke akaun peribadi beliau sebagai derma kepadanya.

"Pembiayaan politik yang telus boleh dicapai dengan menggunakan kaedah kerajaan memperuntukkan geran kepada parti politik mengikut jumlah sokongan undi majoriti yang diperolehi di dalam pilihan raya lepas.

"Apabila kerajaan memperuntukkan geran sebegini, barulah undang-undang boleh diketatkan, dengan mensyaratkan sebarang derma atau sumbangan politik kepada mana-mana ahli politik atau parti politik diisytiharkan secara telus," katanya.

Beliau menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low supaya cuba mendapatkan pengisytiharan harta dari Najib dan anggota Kabinet sebelum bercakap mengenai undang-undang pembiayaan politik.

DAP hari ini menyatakan kesediaan menyertai Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) walaupun PKR berpandangan sebaliknya.

Pengarah Strategi DAP Dr Ong Kian Ming berkata, parti itu berharap jawatankuasa itu memfokuskan kepada pendedahan sumber kewangan politik dan pengisytiharan aset oleh ahli politik.

Najib minggu lalu mengumumkan penubuhan JKNMPP itu bagi menangani isu dana politik yang tidak dikawalselia dan menentukan peraturan mengenainya.

Perdana menteri berkata penubuhan JKNMPP satu keperluan mendesak bagi memastikan kebertanggungjawapan dan ketelusan dalam mewujudkan amalan politik yang sihat.

JKNMPP menyasarkan masa setahun untuk menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan.

Katanya, pelan berkenaan akan dapat disiapkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 bagi meningkatkan keyakinan bukan sahaja ahli parti politik, malahan rakyat dan generasi akan datang.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .