» » Berbagai salah-laku dan korupsi terbongkar akibat skandal 1MDB


Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum selesai, malah ia membuka beberapa isu baharu yang nampak begitu jengkel di mata umum.

Banyak persoalan intrik muncul bersamanya. Meskipun ia tidak kurang pentingnya, kita memerlukan penambahbaikan dasar dan amalan politik untuk melonjak makna kepada apa juga pilihan intrik yang ada.

Campur tangan kerajaan dalam aktiviti ekonomi


Masalah awal 1MDB bermula selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri membelakangi liberalisasi ekonomi yang dikemukakannya.

1MDB menjadi satu lagi syarikat berkaitan kerajaan yang diwujudkan ketika begitu banyak jenis syarikat yang sama “mengawal” ekonomi negara.

Liberalisasi ekonomi yang bertujuan mengurangkan campur tangan kerajaan dalam aktiviti ekonomi jelas larut dalam kata-kata sahaja.

Sebab mengapa ramai ahli ekonomi menolak campur tangan berlebihan ini kurang mahu difahami oleh ahli-ahli politik kerana mereka sedar dengan campur tangan itu mereka berpeluang menjana kekayaan peribadi atau kepada keluarga dan kroni.

1MDB sangat jelas menunjukkan bagaimana campur tangan kerajaan dalam aktiviti ekonomi adalah sebahagian resipi kepada pelbagai masalah.


Pertama, 1MDB membuat hutang yang cukup besar. Hutang ini bukan sahaja secara tidak langsung menyumbang kepada kesan himpitan keluar, tetapi juga menambah beban tanggungan hutang negara kerana ia diberi jaminan oleh kerajaan persekutuan Malaysia.

Kemudian, kita mendengar keputusan aneh 1MDB membeli penjana tenaga bebas pada kadar harga melebihi pasaran, dengan bayaran komisen 10% dan kadar faedah pinjaman sebanyak 5.9%.

Sekiranya ahli lembaga pengarah dan pemegang jawatan eksekutif 1MDB berpengalaman dalam bidang korporat, umum yakin pembelian ini tidak akan dibuat. Ia hanya mungkin sekiranya ada campur tangan kuasa lain.

Kerjasama dengan PetroSaudi International (PSI), di mana pendedahan menunjukkan sebuah syarikat kerjasama dibentuk terlebih dahulu oleh PSI sebelum adanya persetujuan 1MDB, malah dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, tidak menggambarkan ada usaha wajar yang cukup sebagaimana lazimnya sebuah syarikat seperti ini beroperasi.

Sekali lagi, ia hanya mungkin berlaku jika ada campur tangan kuasa lain.

Apabila sebahagian hutang 1MDB matang dan perlu dibayar, ternyata syarikat ini tidak mempunyai wang untuk membayar dan perlukan bantuan kerajaan untuk berbuat demikian.

Sekonyong-konyongnya, kita diberitahu 1MDB diberi hak milikan jumlah aset yang cukup lumayan harganya dengan pembelian pada harga yang rendah.

Aset ini sebahagiannya tiba-tiba akan dibeli oleh Tabung Haji pada harga yang lebih tinggi.

Kemudian kita mendapat tahu ketua dan timbalan ketua pegawai eksekutif serta ahli panel pelaburan dan ahli lembaga pengarah Tabung Haji turut terlibat dalam 1MDB dengan pelbagai jawatan antaranya sebagai ahli lembaga pengarah, pengerusi anak syarikat 1MDB dan panel penasihat 1MDB.

Jika ini bukan konflik kepentingan, apakah namanya?

Selepas itu, umum dimaklumkan Tabung Haji menjual semula tanah ini atas nasihat perdana menteri sendiri.

Di sini, kita meragui bukan sahaja konflik kepentingan yang ada tetapi usaha wajar yang dibuat oleh Tabung Haji dan sekali lagi, campur tangan kuasa lain.

Cubaan menutup pekung

Apabila sebahagian wang yang dipinjam 1MDB gagal dibayar sehingga memerlukan kerajaan membayarnya, selain campur tangan kuasa lain untuk membolehkan apa juga cara untuk menyelamatkan 1MDB berhasil, ia sudah cukup untuk menunjukkan ada yang tidak kena dengan syarikat ini.

Tambahan pula, dalam tempoh relatif singkat, pertukaran firma audit terkenal dan ketua pegawai eksekutif tidak memberikan imej yang positif.

Akhirnya timbul dakwaan Najib menerima wang berjumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadinya.

Sekiranya ini wang daripada 1MDB, kita tertanya adakah apa yang didakwa oleh ketua pegawai eksekutif 1MDB yang baharu sebagai laporan audit terhadap syarikat itu boleh dipercayai?

Sekiranya ia sumbangan politik orang kaya dari Arab, ia perlu didedahkan. Ini kerana jumlahnya sangat luar biasa.

Malah, seorang calon presiden dalam pilihan raya di Amerika Syarikat sukar memobilisasi dana sebanyak itu.

Ketika siasatan dan intrik politik berjalan, kita dikejutkan dengan rombakan Kabinet serta beberapa tindakan yang jelas dilihat bermotifkan politik.

Bukan sahaja bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada Kabinet, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang terlibat dalam pasukan petugas khas untuk menyiasat mengenai wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib ditamatkan perkhidmatan lebih awal.

Empat orang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dimasukkan ke dalam Kabinet.


Dalam tempoh siasatan, tiba-tiba dimaklumkan ketua dan timbalan ketua pesuruhjaya bercuti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi sasaran siasatan dan muncul juga sejumlah blog yang menyerang Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Kenyataan seorang daripada pengarah SPRM yang ditukar jawatan dan hari ini dikembalikan semula kepada agensi anti rasuah adalah tindakan luar biasa polis menyiasat SPRM yang berpunca daripada arahan pihak lain jelas mudah diterima umum meskipun ia dinafikan pihak polis.

Demi Malaysia yang lebih baik

1MDB dan kemasukan wang ke akaun peribadi Najib adalah kes yang cukup besar untuk menarik perhatian ramai, baik di dalam atau di luar negeri.

Ia boleh disifatkan sebagai skandal kewangan terbesar terhadap seorang perdana menteri di Malaysia.

Untuk menangani semua masalah ini dan mengelak daripada ianya berulang, 4 perkara asas mesti segera dilakukan:-

1. Menggubal akta kebebasan maklumat bagi memastikan agar pihak yang berkuasa akan lebih sukar untuk menutup akses kepada maklumat penting, khususnya yang dapat membantu siasatan. Kebebasan maklumat akan meningkatkan kuasa orang ramai.

2. Menjamin kebebasan media. Media adalah elemen semak dan imbang yang tidak memerlukan permit untuk beroperasi. Cukup dengan menamakan pihak yang bertanggungjawab dengan kandungan dan penerbitannya.

3. Desentralisasi kuasa. Agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan SPRM perlu diletakkan di bawah Parlimen dan diberi kuasa mendakwa. Kuasa pendakwaan yang banyak kepada peguam negara mesti dikurangkan kerana dalam kes tertentu seperti ini, boleh berlaku konflik kepentingan dengan tugasnya menasihati kerajaan. Tidak ada sesiapa pun boleh mengatasi atau mempengaruhi undang-undang supaya memihak kepada dirinya secara tidak benar.

4. Menjamin kebebasan ekonomi. Kerajaan mestilah mengurangkan campur tangan dalam aktiviti ekonomi, sebaliknya memainkan fungsinya untuk menggubal mana-mana peraturan untuk memastikan persaingan yang adil. Dasar perlindungan harus diminimumkan sebanyak mungkin untuk membolehkan kesan sebenar ekonomi yang didorong oleh swasta dirasai dan dinikmati.


Ingatlah, kuasa pemerintah yang tidak terbatas sangat lebih berbahaya berbanding kebebasan rakyat. Menutup suara bebas bukanlah bukti mereka memfitnah tetapi petunjuk bahawa pemerintah takut dengan apa yang mahu diperkatakan mereka.

Campur tangan kerajaan dalam aktiviti ekonomi hanya akan memperkaya segelintir pihak yang rapat dan berkepentingan.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .