PKR hari ini mempertimbangkan untuk menghantar surat penjelasan kepada lembaga penasihat Multimedia Super Coridor (MSC), termasuk pengasas Microsoft, Bill Gates, susulan tindakan Putrajaya yang mahu meminda undang-undang bagi menyekat kebebasan media sosial di Malaysia.
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, ia bukan sahaja akan menghantar surat bagi menjelaskan situasi yang berlaku di negara ini kepada Gates yang merupakan salah seorang bekas penasihat MSC, malah bakal menyerahkan petisyen kepada semua syarikat Fortune 500.
"PKR membantah sebarang usaha 'mencekik' kebebasan media yang semakin merosot.
"Jika Kementerian Komunikasi dan Multimedia membawa pindaan akta (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) untuk menyekat kebebasan media, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya Selangor hari ini, Sim berkata keputusan Putrajaya melalui kementerian itu yang ingin meminda akta tersebut dilihat meletakkan kedudukan ekonomi Malaysia dalam bahaya.
Katanya, dalam pelaksanaan MSC di bawah Malaysia “Bill Of Guarantees” (BoG) jelas menunjukkan kerajaan Malaysia komited untuk mempertahankan kebebasan Internet.
"BoG inilah yang berjaya menarik pelaburan jangka masa panjang yang berjumlah ratusan bilion ringgit ke MSC Malaysia.
"Dalam 2014 sahaja, Malaysia berjaya menarik RM20.09 bilion pelaburan baharu dalam sektor online ekonomi dan pertambahan pekerja seramai 9,9497 orang.
"Pertumbuhan sektor Internet tahunan adalah setinggi 11%, jauh lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 4%," katanya.
Katanya keputusan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengongkong Internet mungkin akan mengancam “economic survival” (kelangsungan ekonomi) Malaysia.
"Menteri yang baharu ini harus menjelaskan pendirian beliau berkenaan BoG ini supaya tidak menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur jangka panjang ke Malaysia," katanya.
Salleh pada Ahad memberitahu akhbar The Star dalam satu temu bual, portal berita mungkin perlu berdaftar di bawah cadangan pindaan kepada undang-undang siber sedia ada.
Sebelum ini, beliau menulis di blognya, undang-undang yang mengawal kandungan Internet di Malaysia akan dipinda untuk melindungi rakyat daripada "fitnah" dan "character assassination" (tindakan yang boleh memusnahkan imej baik individu).
No comments: