Memang benar duit bukanlah segala-galanya dalam hidup ini tetapi jika kita hidup tanpa duit yang mencukupi, ianya akan menjadi punca segala masalah. Apatah kita yang tinggal di kota besar seperti di Kuala Lumpur ini.
Di kota ini, masih ramai para gelandangan yang tidur di merata-rata tempat seperti di bawah jambatan atau di celah-celah lorong bangunan yang kotor.
Puncanya mereka tidak punya duit yang mencukupi, bukan sahaja untuk membayar kos sewa rumah yang semakin membebankan, bahkan untuk menyara diri mereka sendiri pun mereka tidak mampu.
Kota ini tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada mereka yang malas dan kuat berangan. “Take it or Leave it”, itu sahaja. “Give up” maknanya kita akan termasuk dalam golongan yang putus asa dan kecewa.
Kita lihat para warga keluar pada waktu subuh lagi untuk mencari rezeki sambil meredah “traffic jam” yang teruk saban hari. Pulang pula walau pada waktu petang namun atas sebab kesesakan jalan raya, sudahnya sampai ke rumah jam 9 malam ke atas juga.
Mereka melakukan itu demi untuk mencari sejumlah rezeki untuk menampung kehidupan. Bukan untuk jadi kaya, melainkan untuk meneruskan kehidupan.
Pendapatan mereka kebanyakannya mungkin di bawah RM3000, maka itulah biasanya si isteri juga turut bekerja untuk meringankan beban si suami. Inilah kenyataannya jika kita hidup di Kuala Lumpur.
Segala-galanya mahal. Sewa rumah, sewa kereta, bil itu ini, sudahnya sampai ke mati kita hidup dengan dibebani hutang. Inilah kenyataannya.
Pekerja asing yang bekerja di sini, kos sara hidup dan keperluan mereka segalanya dicatu. Masak sendiri dengan kos yang minimum.
Segala-galanya minimum. Maka itu mereka mampu hidup walau secara ala kadar. Kebanyakan kita tidak mampu melakukan seperti mana yang mereka lakukan.
Lainlah jika kita merantau ke negara luar, pun kita juga akan hidup secara ala kadar sahaja. Seorang kawan saya yang menjadi buskers di luar negara, makanan hariannya hanyalah sekeping roti keras yang dicelup dengan air berserta air mineral.
Dan dia mampu mengumpul sejumlah wang yang agak lumayan hasil duit busking sebelum pulang ke Malaysia.
Pun begitu segelintir dari masyarakat kita mampu hidup senang dan punya duit yang berlebihan. Kebanyakan mereka ini adalah ahli perniagaan atau ahli politik.
Mereka ini terlalu kaya sama ada hasil dari jalan halal mahupun haram, itu bukanlah persoalannya. Kekayaan adalah ujian bagi mereka yang memilikinya.
Benarlah seperti yang dikata, jika kita tinggal di negara membangun seperti di negara kita ini, yang kaya makin kaya, yang miskin makin papa.
Sebabnya jika kita punya banyak duit, peluang untuk kita mendapat lebih banyak duit itu cerah berbanding jika kita tidak punya duit yang mencukupi.
Apabila kita merasakan kita ini punya segala-gala terutamanya dalam hal materi dan ringgit, maka sifat kita yang sederhana ini mungkin akan berubah menjadi tamak dan ingin menjadi manusia yang berkuasa dan mampu menguasai.
Kita lihat mereka yang bertelagah di atas sana. Puncanya bukanlah duit,kerana mereka masing-masing sudah memiliki segala bentuk macam materi dan nilainya yang tak terhingga. Mereka hanya inginkan kekuasaan dan punya kuasa untuk menguasai.
Apabila sudah memiliki kuasa walau tidaklah dapat dibandingkan dengan kehebatan dan kuasa sang pencipta, maka mereka yang namanya manusia ini pun mulalah berkira-kira untuk menjadi Tuhan. Sebabnya Tuhanlah di atas segala-galanya.
Menjadi seperti Tuhan akan menjadikan kita mampu menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal mengikut hukum dan perkiraan kita sendiri. Segalanya di tangan kita sepertimana kita melihat para diktator dunia seperti Hitler, Pol Pot dan Karl Marx antaranya.
Itulah sepertimana yang kita lihat Firaun, yang mengaku dirinya Tuhan walau akhirnya dia juga mati seperti manusia-manusia lainnya di muka bumi ini.
Punya duit yang mencukupi akan melengkapkan kehidupan dan fitrah kemahuan kita. Jika berlebihan pula mungkin akan menjadikan kita manusia yang lupa dan leka. Sehingga akhirnya bila kita memiliki kuasa, maka mungkin di benak kita akan berkata, “ akulah Tuhan”.
No comments: