» » Akan bercuti selepas selesai jelajah kritik Najib Razak di Johor


Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bercuti panjang selepas menjelajah mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat bahagian parti itu sepanjang bulan ini.

Dua program Muhyiddin di Johor hari ini adalah yang terakhir di mana bekas timbalan perdana menteri itu akan bertemu dengan akar umbi Umno dan merasmikan mesyuarat 2 bahagian di Pontian dan Pekan Nanas.

The Malaysian Insider difahamkan jemputan 2 bahagian itu kepada Muhyiddin adalah yang terakhir walaupun mesyuarat bahagian masih sedang berlangsung dan akan berakhir pada 31 Ogos ini.

"Program Tan Sri di Johor ini adalah yang terakhir sebelum beliau pergi bercuti panjang," kata sumber Umno kepada The Malaysian Insider.

Sumber memberitahu Muhyiddin juga sudah tidak mendapat jemputan daripada bahagian lain walaupun mesyuarat masih akan berlangsung sehingga 31 Ogos ini.

"Setakat ini tidak lagi jemputan kepada Muhyiddin untuk rasmikan mesyuarat," katanya.

Menurut sumber, Muhyiddin mungkin sedang mengatur strateginya sendiri sepanjang tempoh bercuti tersebut.

Sumber juga memberitahu Muhyiddin masih belum membuat keputusan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno jika ia diteruskan berlangsung pada 28 Ogos ini walaupun belum ada notis dikeluarkan setakat ini.

Muhyiddin sepanjang merasmikan beberapa mesyuarat Umno bahagian banyak mengeluarkan kritikan pedas ke atas pentadbiran Najib, mengulangi pendirian sama terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mempersoalkan keputusan penyingkirannya daripada Kabinet.

Muhyiddin bersama Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal disingkir daripada Kabinet, dipercayai berkaitan dengan isu 1MDB kerana kedua-kedua mereka lantang mengkritik syarikat pelaburan yang dinaungi Najib sendiri.

Sejak penyingkiran itu, Muhyiddin dan Shafie sepanjang berucap merasmikan mesyuarat bahagian dengan akar umbi tidak berhenti daripada membangkitkan isu mengenai 1MDB dan terus mempersoalkan tindakan Najib.

Najib ketika ini berdepan cabaran dalam pentadbirannya sehingga terpaksa membuat keputusan drastik menggugurkan Muhyiddin daripada pentadbirannya.

Namun, Najib tidak membuang Muhyiddin daripada Umno walaupun menyedari risiko yang bakal dihadapinya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .