The Edge Media Group, yang selama ini terkedepan dalam melaporkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bukan merupakan punca masalah yang dihadapi syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu, kata PAS.
Memuji tindakan penerbit dan ketua pegawai eksekutif kumpulan The Edge, Ho Kay Tat, yang mempertahankan liputan meluas akhbar perniagaan itu dalam isu tersebut, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pasukan petugas khas yang menyiasat operasi 1MDB seharusnya menggunakan laporan The Edge dalam membantu siasatannya, bukan menghukum kumpulan media itu.
"Keberanian The Edge melalui ketua pegawai eksekutif kumpulan mempertahankan laporannya, meskipun berdepan pelbagai kemungkinan, menambahkan kredibiliti pembongkaran akhbar tersebut mengenai aliran tunai 1MDB, berbanding penafian separa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB dalam kontroversi ini.
"Sesungguhnya, The Edge bukan punca kepada masalah 1MDB hari ini yang menjadi isu antarabangsa yang memalukan negara hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, rakyat harus berhati-hati dengan cubaan mengubah fokus siasatan untuk menentukan sama ada wang rakyat Malaysia disalahguna atau tidak oleh 1MDB ke cerita sensasi lain yang sengaja diwujudkan bagi mengalihkan pandangan mereka.
Tuan Ibrahim mungkin merujuk kepada pendedahan menteri Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang mendakwa Rabu lalu, pemimpin pembangkang bekerjasama dengan laman web pemberi maklumat Sarawak Report untuk memalsukan dokumen yang membawa kepada banyak pendedahan mengenai 1MDB.
Beliau berkata terdapat "bukti kukuh", termasuk video pengakuan yang didakwa, disertakan dalam satu laporan polis yang dibuat Ramesh Rao Krishnan Naidu, presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mesra Barisan Nasional.
Satu laporan polis menamakan Lester Melanyi sebagai bekas editor yang bekerja dengan Sarawak Report, tetapi ia dinafikan pengasas dan editor laman itu, Clare Rewcastle-Brown.
Bagaimanapun, Melanyi menegaskan maklumatnya adalah tulen dan dia mempertahankan kenyataannya.
Berikutan itu, Sarawak Report hari ini berkata ia akan menyaman Rahman, akhbar pro kerajaan New Straits Times dan beberapa yang lain kerana membuat pembohongan "berniat jahat" bagi memusnahkan kredibiliti laman itu.
sumber
No comments: