» » PAC terima laporan audit 1MDB pada 9 Julai 2015


Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan bertemu ketua audit negara pada 9 Julai ini bagi menerima laporan awal mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Katanya, PAC juga akan mendengar taklimat pasukan ketua audit negara tentang kelancaran audit yang dilakukan terhadap syarikat sarat hutang itu, serta tahap kerjasama pihak yang terlibat dalam audit berkenaan.

"Akan ada satu penjelasan rasmi tentang laporan itu, dan PAC akan adakan sesi soal jawab dengan mereka tentang skop siasatan mereka, dan sama ada mereka diberikan kebebasan dan kerjasama dari pihak yang disiasat mereka," katanya kepada The Malaysian Insider.

Namun, kata Nur Jazlan, sebarang keputusan sama ada mendedahkan laporan itu kepada umum atau tidak berada dalam bidang kuasa ketua audit negara.

"Laporan ketua audit adalah kepunyaan beliau. Beliau yang membuat keputusan mendedahkannya kepada umum atau tidak," katanya.

Sementara itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan kepada Bernama berkata, laporan interim tersebut merupakan hasil pengauditan yang dijalankan mulai 10 Mac, 2015, sehingga 15 Jun, 2015.

"Pengauditan Jabatan Audit Negara ke atas 1MDB masih lagi berjalan dan satu laporan lengkap akan diserahkan kepada PAC secepat yang mungkin dalam tahun ini," katanya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam menyoal ketua audit negara tentang laporan awal 1MDB yang sepatutnya disiapkan pada akhir Jun.

Lim dalam satu kenyataan berkata, laporan itu “masih ditunggu” meskipun kini sudah memasuki Julai, dan menambah Ambrin sebelum ini mengatakan ia sepatutnya siap penghujung Jun.

Beliau juga mengkritik keputusan tidak menjadikan laporan awal itu sebagai laporan awam dan sebaliknya hanya disediakan kepada ahli PAC, yang turut menjalankan siasatan terhadap 1MDB.

Lim berkata, tindakan itu “memusnahkan rasional asal” meminta ketua audit negara memeriksa akaun syarikat pelaburan strategik negara milik Kementerian Kewangan itu.

“Walaupun ini hanya laporan interim ketua audit negara mengenai 1MDB, dan akan ada laporan akhir, tidak ada alasan cukup kuat mengapa ia disekat daripada awam atau ahli Parlimen yang bukan dalam PAC," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .