PKR hari ini mempersoalkan mengapa pasukan petugas khas belum mengambil kenyataan dan menyoal siasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ekoran tindakan Putrajaya semalam yang menyekat dua ahli Parlimen pembangkang ke luar negara.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, Najib merupakan individu paling penting dalam syarikat sarat hutang milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan tetapi pasukan petugas khas masih belum menyiasatnya.
"Soalan ini juga sudah tentu berlegar di pemikiran rakyat kebanyakannya dan tidak memberi gambaran yang baik kepada kebebasan pasukan petugas khas ini sekiranya individu yang paling penting belum lagi disoal siasat dan diambil kenyataan," kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi yang juga dalam senarai dihalang ke luar negara itu turut melahirkan rasa terkejutnya berhubung laporan akhbar hari ini pihak berkuasa masih gagal menjejaki 3 "orang kuat" 1MDB itu iaitu Low Taek Jho, Nik Faisal Ariff Kamil, dan Datuk Suboh Mohd Yassin untuk disoalsiasat.
Menurut akhbar itu, ketiga-tiga individu tersebut diperlukan bagi membantu memberikan maklumat mengenai pemindahan dana daripada anak syarikat 1MDB – SRC International Sdn Bhd, yang kini di bawah Kementerian Kewangan.
"Laporan The Sun juga menyebut bahawa salah seorang daripada mereka disyaki berada di Indonesia, bermaksud mereka sudah bolos, sedangkan sekatan ke luar negara dikenakan terhadap mereka yang kuat mengkritik kerajaan mengenai 1MDB."
Pada masa sama Rafizi berkata, antara sebab Najib sepatutnya turut disiasat kerana berkait rapat dengan skandal 1MDB.
"Mengikut Fasal 117 Memorandum Pertubuhan 1MDB, semua keputusan pelaburan, hutang dan lain-lain yang dibuat oleh 1MDB mestilah mendapat kelulusan perdana menteri. Ini bermakna beliau tahu mengenai urusniaga-urusniaga yang kini dipersoalkan sehingga menyebabkan 1MDB mengumpul hutang melebihi RM42 bilion.
"Pemindahan wang sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dibuat ke dalam akaun peribadi milik perdana menteri dari dana yang berasal daripada 1MDB," katanya.
Beliau dalam kenyataannya itu juga berharap agar laporan pasukan petugas khas 1MDB menahan dua orang yang berkaitan dengan siasatan terhadap syarikat itu dipercepatkan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab.
No comments: