headlines

» » 'Lebhi baik kerajaan jelaskan skandal 1MDB daripada kenakan tindakan kepada The Edge'


Lawyers for Liberty menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Edge berhubung apa yang didakwa Putrajaya sebagai berita yang "tidak disahkan" yang diterbitkan akhbar perniagaan mingguan itu mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), mengatakan ia satu cubaan jelas mendiamkan media.

Pengarah Eksekutifnya Eric Paulsen berkata, sangat ketara sekali yang Putrajaya sedang membalas dendam terhadap The Edge kerana ia kritikal mengenai skandal itu dan memainkan peranan penting dalam membuat liputan mengenai wang berbilion dalam 1MDB yang tidak dapat dikesan.

Katanya, tingkah laku autoritarian seperti itu menghantar satu "chilling message" (mesej yang menggerunkan) kepada akhbar itu untuk menapis sendiri liputan yang dibuatnya ke atas isu seperti 1MDB, jika tidak, ia boleh mengundang tindakan balas.

"Tidak masuk akal untuk Kementerian Dalam Negeri mencadangkan yang tindakan boleh diambil terhadap akhbar itu sekiranya ia menerbitkan berita yang 'belum disahkan' atau 'diputarbelit'.

"Apa yang pihak berkuasa perlu lakukan jika terdapat berita yang 'belum disahkan' atau 'diputarbelit' ialah, membuat satu penerangan menjelaskan isu tersebut, bukannya menggunakan cara yang tidak adil dan tidak demokratik untuk bertindak balas," kata Paulsen dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, taktik ugutan itu bukan sesuatu yang baru kerana The Edge dan portal berita The Malaysian Insider dan Malaysiakini serta media bebas yang lain turut menjadi sasaran, manakala akhbar pro-kerajaan seperti Utusan Malaysia dibenarkan menerbit berita secara bebas.

The Star hari ini melaporkan Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Edge berhubung laporan mengenai 1MDB pada petang Isnin.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada The Edge dan pemiliknya Datuk Tong Kooi Ong, permit penerbitan yang dikeluarkan kepada kumpulan media itu boleh ditarik balik kerana laporannya mengenai 1MDB, memandangkan maklumat bocor mengenai syarikat pelaburan strategik milik negara itu mungkin diubahsuai.

Katanya, The Edge dan Tong perlu bertanggungjawab kerana melaporkan berita yang tidak tepat dan mempunyai kesilapan fakta.

Kenyataan itu dibuat selepas berita mengenai bekas kakitangan PetroSaudi International ditangkap kerana dituduh melakukan peras ugut dan memalsukan maklumat yang dibocorkan kepada laman web berpangkalan di United Kingdom, Sarawak Report.

Paulsen hari ini mengingatkan pihak berkuasa, kewartawanan “bukan satu jenayah” dan kebebasan media merupakan komponen yang sangat diperlukan dalam mana-mana masyarakat moden dan demokratik kerana ia berfungsi sebagai satu bentuk periksa dan imbang terhadap pembaziran kerajaan.

“Tidak dinafikan yang media mesti sejauh mungkin, selari dengan etika kewartawanan, menerbitkan berita yang benar dan tepat, tetapi ini tidak sama dengan menyiarkan berita untuk kepuasan hati pihak berkuasa,” katanya.

Paulsen menggsa Kementerian Dalam Negeri menarik balik surat kepada The Edge itu dan benarkan masyarakat serta kuasa pasaran memutuskan sama ada liputannya mengenai skandal 1MDB boleh dipercayai atau tidak.

sumber


About Izikit

«
Next
Emma Maembong akui sedikit tertekan akibat putus cinta sebelum ini
»
Previous
Malaysia tiada hak untuk siasat bekas eksekutif PetroSaudi

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .