» » Anzalna Nasir tolak tawaran berlakon selama setahun


Pelakon Anzalna terpaksa menolak semua tawaran lakonan sejak setahun lalu kerana terikat dengan penggambaran drama bersiri Memori Cinta Suraya terbitan Global Station Sdn Bhd.

Anzalna atau nama sebenarnya Anzalna Nasir, 27, berkata, biarpun terpaksa melepaskan beberapa peluang menarik tetapi dia tidak mahu bersikap tamak sehingga menimbulkan masalah kepada pihak lain yang pada akhirnya akan merugikan diri sendiri.

"Alhamdulillah rezeki itu memang tidak putus-putus tetapi malangnya saya terpaksa menolak secara baik kerana perlu memberikan komitmen kepada Memori Cinta Surayayang sudah pun menjalani penggambaran selama setahun.

"Tetapi tidak mengapa itu mungkin bukan rezeki saya dan akan ada yang lain selepas ini," katanya .

Memori Cinta Suraya menggandingkannya dengan aktor berasal dari Singapura iaitu Hisyam Hamid sebanyak 149 episod dan dijangka ditayangkan pada Ogos depan.

Dalam pada itu Anzalna berkata, dia bersyukur kerana mendapat barisan pelakon dan kru produksi yang bekerja sebagai sebuah keluarga besar tanpa sebarang masalah.

Kata Anzalna, tempoh lama berada di set tidak terasa malah dia sentiasa ternanti-nanti untuk memasuki set dan berjumpa dengan keluarga besar Memori Cinta Suraya.

"Alhamdulillah, segalanya dalam keadaan baik. Saya bimbang juga akan berlaku sebarang 'drama' kerana kami berada di set sudah setahun.

"Harap-harap keadaan itu akan kekal begitu sehingga tamat penggambaran pada November depan," katanya.

Sementara itu, Anzalna berkata, dia juga selesa bergandingan dengan Hisyam dan menyifatkan aktor berusia 30 tahun itu sebagai profesional dan menghormati orang lain.

"Dengan Hisyam tiada apa perlu saya bimbangkan kerana dia sangat profesional dan kami juga saling menjaga hubungan agar tidak berlaku sebarang perbalahan.

"Pendek kata, saya tidak bersedia untuk meninggalkan set apabila ia tamat nanti kerana kami semua benar-benar seperti keluarga," ujarnya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .