Walaupun berjaya melakar sejarah untuk tersenarai dalam kelompok 30 terbaik dalam ranking QS Quacquarelli Symonds: Asia, universiti tempatan sekali lagi gagal memasuki ranking Times Higher Education (THE) 2015 bagi universiti Asia, yang dikeluarkan hari ini.
Ranking THE universiti Asia ini menyaksikan National University of Singapore (NSU) mengekalkan kedudukannya di tempat kedua dan Nanyang Technological University (NTU) meningkat ke tempat ke-10.
Mendahului senarai ialah University Tokyo, Jepun manakala Universiti Hong Kong di tempat ketiga, diikuti Universiti Peking, China dan Universiti Tsinghua.
Negara jiran Thailand mempunyai 2 universiti dalam senarai 100 terbaik tahun ini: Universiti Teknologi Thonburi King Mongkut di tempat ke-55 dan Universiti Mahidol di tempat ke-91.
Negara seperti Turki, Israel, Arab Saudi dan Iran juga menunjukkan peningkatan.
Sebaliknya, Malaysia setakat ini hanya pernah sekali memasuki ranking THE universiti Asia THE tahunan Asia apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapat tempat ke-87 apabila ranking itu pertama kali diperkenalkan pada 2013.
Wakil THE Fran Langdon memberitahu The Malaysian Insider semalam, universiti tempatan mempunyai "pandangan global yang lemah".
"Dalam kes Malaysia, ia sebenarnya satu keadaan yang 'anda mesti berada di dalamnya untuk memenanginya' dan jika kita melihat lebih banyak penyertaan dari Malaysia secara keseluruhannya, saya tidak menjangka universiti negara ini akan tersenarai dalam masa terdekat - masalahnya antaranya ialah, mereka memiliki pandangan global yang lemah."
Tetapi beliau tidak dapat mendedahkan universiti Malaysia mana yang mengemukakan data, mengatakan THE hanya mengeluarkan nama universiti yang berjaya mencapai 100 terbaik.
Sebelum ini, editor THE Phil Baty memberitahu The Malaysian Insider, keengganan universiti tempatan mengemukakan data untuk dinilai, serta penyelidikan yang lemah, merupakan 2 sebab mengapa mereka menunjukkan prestasi buruk dalam kedudukan THE ini.
Dalam reaksinya, Ahli Parlimen DAP yang bertanggungjawab hal ehwal pendidikan, Zairil Khir Johari berkata, Malaysia tidak boleh takut untuk bersaing dengan dunia jika ia mahu menjadi bertaraf dunia.
"Beberapa minggu lepas, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh sekali lagi mengulangi dakwaannya universiti di Malaysia boleh menjadi bertaraf dunia pada kadar peningkatannya sekarang," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.
"Malangnya, dakwaan seperti itu hanya semata-mata mimpi indah apabila ia tidak dapat disokong oleh statistik empirikal. Satu-satunya cara membuktikan universiti di Malaysia terdapat peningkatan ialah melalui penilaian antarabangsa kompetitif seperti THE, QS, Thomson Reuters dan ranking dunia yang lain,” katanya.
Katanya, kerajaan salah apabila mengatakan prestasi Malaysia dalam ranking QS ialah bukti terdapat pencapaian yang baik, kerana universiti bertaraf dunia akan mengalami pencapaian secara menyeluruh di semua peringkat, bukan hanya pada satu dua keadaan.
Semalam, QS mendedahkan Universiti Malaya melakar sejarah selepas disenaraikan dalam kelompok 30 terbaik dalam ranking universiti Asianya manakala kebanyakan universiti di Malaysia secara keseluruhan memperbaiki kedudukan masing-masing dalam senarai penilaian QS 2015 itu.
Tetapi, Zairil berkata, di Pusat World University Ranking, UM hanya berjaya mendapat tempat ke-492 di dunia, sambil berada di kedudukan ke-423 dalam ranking Thomson Reuters Universiti Terbaik Global.
"Malang sekali, tindakan memilih untuk menonjolkan hanya yang terbaik begini adalah tidak jujur," kata Zairil.
Baty sebelum ini pernah mengingatkan Malaysia agar tidak bergantung semata-mata kepada kedudukan yang meletakkan mereka dalam keadaan baik, sambil QS berkata, rankingnya tidak wajar digunakan sebagai satu-satunya ukuran kualiti institusi di Malaysia.
Pada 21 Mei, Idris mengakui wujud keperluan untuk mengambil bahagian dalam ranking THE, tetapi tidak menyebut sebarang tempoh masa untuk berbuat demikian.
Beliau juga memberitahu Dewan Rakyat, SCimago Journal dan Country Rank tahun lepas mendedahkan Malaysia menerbitkan lebih jurnal berbanding Singapura pada 2013.
Tetapi, Zairil mendakwa, Idris sekali lagi berlaku "selektif" dalam menggunakan fakta, membangkitkan hujah yang Malaysia mempunyai 63 institusi pengajian tinggi, manakala Singapura hanya 32.
"Oleh itu, bilangan penerbitan merupakan indikator yang sangat teruk kerana secara teknikal, penerbitan kita sepatutnya dua kali ganda Singapura.
"Penilaian yang lebih halus sepatutnya dibuat berdasarkan impak dan kualiti penyelidikan, seperti Indeks ISI Thomson untuk artikel saintifik dan penilaian kesan lain.
"Sebagai contoh, NTU di Singapura mendapat tempat pertama di Asia daripada segi kualiti dan impak penyelidikan, berdasarkan kajian Thomson Reuters dan Elsevier.
"Pada usia 23 tahun, ia satu pencapaian yang hebat kerana ia mengatasi universiti dari Hong Kong, Korea dan Jepun,” katanya.
Zairil berkata, Asia diunjurkan sebagai "kuasa besar pendidikan tinggi global" akan datang memandangkan terdapat banyak penambahbaikan di universiti Asia, tetapi Malaysia seolah-olah ketinggalan dalam kebangkitan pendidikan Asia ini.
"Selain China, negara lain yang menunjukkan prestasi yang baik ialah Jepun, walaupun kedudukannya kini semakin diancam pendatang baru seperti Korea Selatan dan Taiwan.
"Hong Kong contohnya, menyaksikan semua 6 universitinya berada di kedudukan 50 teratas sekarang, satu peningkatan daripada tahun lepas. Malah, Macau kini memasuki ranking itu dengan Universiti Macau berkongsi kedudukan di tempat ke-40," kata Zairil.
sumber
No comments: