Sesi pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) harus diadakan secara terbuka kepada umum, kata DAP hari ini, mengatakan ia selaras dengan amalan tiga perempat negara Komanwel.
Ketua Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata pengecualian mungkin boleh dibuat ketika membincangkan hal keselamatan negara yang sensitif, tetapi prosiding mengenai isu yang memberi kesan kepada orang ramai, seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), 1BestariNet, National Feedlot Corporation dan klia2 harus terbuka kepada umum.
Katanya, penelitian awam terhadap prosiding itu akan memastikan ahli PAC yang dilantik menjalankan tugas mereka dengan bersungguh-sungguh.
Pua juga mencadangkan PAC dipengerusikan ahli Parlimen pembangkang, menyatakan ia juga diamalkan di 67% daripada negara Komanwel.
Katanya, beberapa daripada negara itu mengamalkan kaedah tersebut sebagai satu konvensyen manakala yang lain menyatakannya dalam Peraturan Mesyuarat Parlimen atau undang-undang.
Beliau berkata, bagi Parlimen Malaysia bagaimanapun, konvensyennya mengikut sejarah ialah Barisan Nasional (BN) memilih seorang daripada ahlinya mempengerusikan jawatankuasa itu walaupun pihak pembangkang sering menggesa mereka menerima pakai amalan terbaik global itu.
"Nampaknya, walaupun kerajaan BN suka memetik amalan global sebagai alasan menerima pakai dasar seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tetapi apabila mengenai isu berkaitan norma demokratik, ia memilih untuk menutup sebelah mata," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, sebab utama amalan global itu harus diterima pakai ialah bagi memastikan wujud lebih penelitian terhadap perbelanjaan kerajaan, sambil menambah tidak ada sebab pendengaran PAC diadakan secara tertutup apabila prosiding Parlimen terbuka kepada orang ramai.
"Secara semula jadinya, dan tidak dapat tidak, seorang wakil rakyat daripada parti pemerintah akan dibebani konflik kepentingan kerana tidak mahu memburukkan imej parti pemerintah.
"Sebaliknya, PAC dipengerusikan seorang ahli pembangkang akan memberikan 'check and balance' yang diperlukan jawatankuasa itu di mana majoriti ahlinya daripada parti pemerintah," katanya.
Pua berkata, perubahan ini sejajar dengan usaha pembaharuan Parlimen yang dicadangkan Speaker Dewan Rakyat, sambil menggesa jawatankuasa Dewan itu menggunakannya ketika sidang bermula kembali esok.
"Ini bagi memastikan kita menjadi sebuah Parlimen bertaraf antarabangsa yang sebenar, dan bukan 'rubber stamp', di mana hak demokrasi rakyat Malaysia ditindas oleh eksekutif yang merosakkan kesucian dan peranan Parlimen," katanya.
sumber
No comments: