» » Peningkatan bilangan penerima BR1M menjadi petunjuk rakyat Malaysia semakin miskin dan ekonomi sedang tenat


Saya bertanya di Parlimen semalam tentang data pembahagian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara terperinci, mengikut jantina, keturunan, negeri dan kumpulan umur.

Jawapan bertulis yang saya terima daripada Kementerian Kewangan tidak begitu memberansangkan. Pihak Kementerian menyatakan mereka tidak mempunyai data pecahan penerima BR1M secara terperinci (Jawapan bertulis 3 mukasurat tersebut dilampirkan bersama emel ini).

Apa yang mereka berikan kepada saya ialah pecahan penerima BR1M mengikut tahun sahaja.

Saya mempunyai beberapa kerunsingan tentang hal ini.

Pertama, bagaimana mungkin Kementerian Kewangan tidak mempunyai data yang sebegini penting? Apakah yang digunakan pihak Kementerian sebagai indikator bagi mengukur taraf hidup dan ekonomi rakyat secara tepat sekiranya data-data ini tidak direkod dan dianalisa?

Ini membuka ruang kepada salahguna dan putarbelit fakta, contohnya untuk menunjukkan kaum apa yang paling banyak menerima bantuan tunai daripada pihak kerajaan.

Saya runsing sekiranya ini dijadikan trend dalam pembahagian dana kekayaan negara. Pentadbiran dana secara sewenang-wenang tanpa rekod terperinci tidak seharusnya dijadikan amalan. Pemberian BR1M bukan macam tabur wang emas di kota Baghdad seperti dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk arahan Tan Sri P Ramlee.

Keduanya, saya turut runsing dengan angka-angka yang diberikan pihak Kementerian tentang bilangan penerima BR1M dan jumlah wang yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut.

Angka ini nampaknya kian meningkat tahun demi tahun; bermula dengan 4.1 juta penerima pada 2012 dan menelan belanja RM2.1 bilion, BR1M kini menelan kos RM5.2 bilion untuk 7.2 juta orang penerima, hanya dalam masa tiga tahun sahaja.

Peningkatan bilangan penerima BR1M bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan. Ia menjadi petunjuk, rakyat sedang hidup susah dan terhimpit dengan keadaan ekonomi serta tergolong sebagai kumpulan masyarakat yang layak menerima bantuan kerajaan.

Lima tahun menjelang 2020, rakyat Malaysia kian ramai menjadi warga penerima bantuan kerajaan dan bantuan itu pula ditabur-tabur sahaja tanpa data dan rekod terperinci. Beginikah caranya Umno dan Barisan Nasional menguruskan kewangan negara?

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .