PAS membidas tindakan kerajaan yang "tergamak" berbincang mengenai cadangan untuk menaikkan kadar tol ketika rakyat tertekan dengan kenaikan kos sara hidup dan harga minyak di samping kesesakan di lebuh raya.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan tidak wajar membincangkan cadangan itu sedangkan umum mengetahui syarikat konsesi mendapat keuntungan setiap tahun.
Menurutnya lagi, pada asalnya rakyat membayar tol bukan sekadar untuk menggunakan lebuh raya sahaja, tetapi juga untuk menjimatkan masa dan minyak kereta.
"Persoalannya, jikalau semua kebaikan menggunakan lebuh raya kini sudah semakin hilang nilai tambahnya, wajarkah harga tol terus dinaikkan?" soalnya dalam kenyataanya hari ini.
"Kerajaan sepatutnya membincangkan apakah caranya untuk memaksa syarikat konsesi tol untuk menurunkan harga memandangkan jumlah kereta semakin bertambah dan jalan lebuhraya yang sering sesak," katanya lagi.
Beliau mengulas kebocoran maklumat mengenai cadangan kenaikan kadar tol lebuh raya yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa ia masih belum dimuktamadkan oleh kabinet dan beliau menyifatkan pihak yang membocornya sebagai 'pengkhianat'.
Dilaporkan sumber memberitahu Malaysiakini, majoriti anggota kabinet bersetuju menaikkan kadar bayaran tol untuk 16 lebuh raya antara 20 sen hingga RM1 mulai Ogos ini. Bagaimanapun jurucakap pemegang konsesi lebuh raya tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
Bagi mereasliasasi cadangannya itu, Tuan Ibrahim menggesa kerajaan mendedahkan semua perjanjian lebuhraya dengan syarikat konsesi tol yang berada bawah OSA.
"Kerajaan perlu menyemak kembali semua perjanjian konsesi serta cadangan kenaikan tarif tol memandangkan syarikat konsesi gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada pengguna tol.
"Setiap kali perayaan atau cuti panjang, tol adalah punca utama kesesakan dan ia sangat membebankan pengguna, di samping kerosakan permukaan jalan hampir sepanjang masa," katanya.
No comments: