Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz seharusnya bijak membezakan kedudukan seseorang pemimpin dan kerabat diraja sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, kata Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik.
Memetik laporan portal Astro Awani Online, Rahim dilaporkan berkata, Nazri juga harus bersikap adil dalam memberikan pandangannya.
"Komen Nazri terhadap Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim ekoran status Facebook Baginda mengenai sesi dialog #Nothing2Hide adalah teguran yang baik, tetapi dia (Nazri) diam sahaja bila ada situasi Sultan yang menyokong pemimpin politik secara terbuka.
"Bila Nazri kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak layak berdebat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dia mungkin tidak faham beza antara pemimpin berkuasa dengan pemimpin berpengaruh," kata bekas ketua menteri Melaka itu seperti dilaporkan mengulas tindakan Nazri yang mengkritik status di laman Facebook Johor Southern Tigers oleh Tunku Ismail sebelum ini, yang menyatakan baginda tidak terkejut apabila Najib tidak hadir ke sesi dialog #Nothing2Hide sebelum ini.
Nazri sebelum ini dilaporkan menggesa Tunku Ismail menjauhkan diri daripada politik kalau tidak mahu "dibelasah".
Beliau turut dilaporkan berkata, Dr Mahathir tiada hak untuk meminta Najib berdebat dengannya kerana beliau hanyalah rakyat biasa selain meminta Najib tidak harus merendahkan dirinya ke tahap bekas perdana menteri itu.
Rahim turut berkata, dalam politik, pemimpin berkuasa disokong kerana jawatan dan mampu memberi habuan, namun berbeza dengan pemimpin berpengaruh yang ditaati kerana integriti.
"Adalah strategik dalam mana-mana perjuangan politik, mana-mana pemimpin berkuasa dan berpengaruh merapatkan kerjasama dan pendirian demi kepentingan organisasi," katanya.
Dr Mahathir turut dilaporkan berkata, Tunku Ismail berhak mengkritik Najib kerana baginda juga ada hak kebebasan bersuara seperti rakyat kebanyakan.
Bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan memberi ruang setiap rakyat bebas bersuara dan tiada undang-undang yang melarang golongan diraja menyuarakan pendapatnya.
"Itu merupakan kebebasan bersuara yang dibenarkan kerajaan dan putera mahkota juga ada hak melainkan ada undang-undang yang mengatakan sebaliknya," katanya.
sumber
No comments: