» » Menteri IQ rendah diberitahu yang Justo ditangkap kerana ugut dan bukan mengubah email skandal 1MDB


Kedegilan menteri Malaysia mendakwa bekas Pengarah PetroSaudi International (PSI) Xavier Andre Justo mengubah emel sulit membuktikan "IQ rendah" mereka kerana kes itu disiasat pihak berkuasa Thailand sebagai ugutan, kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, menteri seharusnya berhenti memalukan negara dengan jawapan "bodoh" dalam kes penangkapan Justo kerana emel berkenaan membawa kepada pendedahan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri Kabinet seharusnya menjawab isu membabitkan dana RM42 bilion dengan tenang dan bertanggungjawab.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mendakwa kerajaan menyimpulkan Justo yang kini ditahan di Thailand mengubah emel dan dokumen berkait 1MDB berdasarkan jangkaan logik.

Lim berkata kenyataan Wan Junaidi menunjukkan tiada fakta, bukti atau maklumat daripada polis Thailand diperlukan mengenai hasil soal siasat Justo.

"Apa yang perlu dilakukan menteri Malaysia ialah jangkaan logik berdasarkan khabar angin yang emel sudah diubah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim mempersoalkan rasional Putrajaya mendakwa emel diubah kerana laporan polis PSI yang dibuat di London pada 1 Mac bukan mengenai pengubahan emel tetapi pelayan yang dicerobohi dengan emel sulit disebarkan kepada umum.

Katanya, dakwaan emel diubah hanya berlaku di Malaysia dan tidak di tempat lain malah pihak berkuasa Thailand berkeras Justo ditahan kerana mengugut.

"Apa pun yang berlaku, IQ menteri Malaysia tidak kelihatan cukup tinggi untuk memahami kemungkinan tiada unsur ugutan sehingga emel dirujuk sahih dan benar," katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan mengapa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis Malaysia mahu menyoal Justo.

"Adakah polis mencari peluang menyoal Justo berhubung dakwaan pengubahan emel walaupun polis Thailand tidak berminat langsung?

"Atau untuk mengesahkan dakwaan menteri berhubung emel 1MDB sudah diubah?" soalnya.

Justo ditahan di sebuah pulau di Thailand pada 22 Jun dan dihantar ke Bangkok keesokannya.

Dia dituduh membocorkan maklumat berkaitan 1MDB dan kini ditahan di Jabatan Jenayah Penindasan Polis Diraja Thailand.

Beberapa komputer, pemacu cakera keras dan alat penyimpanan data turut dirampas daripadanya, bagi membantu siasatan mengenai kebocoran emel antara PSI dan 1MDB bagi tujuan peras ugut.

Justo dipercayai membocorkan dokumen kepada laman web berpangkalan di UK, Sarawak Report yang kemudiannya menyiarkan mengenai urus niaga kerjasama 1MDB-PetroSaudi yang dimulakan ahli perniagaan Low Taek Jho bersama pasukannya pada 8 September, 2009 iaitu kurang sebulan sebelum ia ditandatangani.

Dalam urus niaga itu Low didakwa menyeleweng AS$700 juta ke sebuah syarikat kawalannya, dakwaan yang dinafikan.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .