» » Kumpulan berpendapatan rendah dan peniaga Bumiputera persoalkan kredibiliti RMK-11


Mengumpulkan golongan miskin dan kelas peniaga Bumiputera di bawah satu teras dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) mewujudkan satu krisis kredibiliti, kata seorang aktivis sosial terkenal, kerana kedua-dua kumpulan mempersoalkan sama ada Putrajaya serius untuk menangani masalah mereka.

Datuk Dr Denison Jayasooria dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Putrajaya sepatutnya memisahkan matlamat membantu isi rumah kumpulan 40% terendah (B40) daripada tujuan untuk memupuk Komuniti Ekonomi Bumiputera (BEC), kerana kedua-duanya mempunyai keperluan berbeza dan perlu diberi penekanan yang saksama.

Kedua-dua matlamat B40 dan BEC berada di bawah bab ketiga RMK-11 yang bertajuk "Meningkatkan inklusif dan ke arah masyarakat yang saksama".

Sebagai sebahagian daripada pelan tindakan 5 tahun untuk meningkatkan Malaysia kepada status negara "pendapatan tinggi", "maju" pada 2020, Putrajaya mahu meningkatkan 40% pendapatan isi rumah rakyat Malaysia daripada RM2,500 secara purata kepada RM5,000.

RMK-11 ini juga bertujuan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan dan memastikan masyarakat memiliki 30% ekuiti korporat pada 2020.

Jayasooria, felo kanan di Jabatan Kajian Etnik UKM berkata, memisahkan kedua-dua kumpulan dan memberi tugasan khas kepada agensi tertentu untuk mengendalikannya akan menghasilkan keputusan lebih baik berbanding menggabungkannya bersama-sama.

Satu perbezaan penting antara kumpulan kata beliau adalah B40 termasuk semua kaum dan etnik manakala BEC terdiri daripada hanya Bumiputera.

"Jika anda menugaskan kepada agensi pelaksana untuk mengendalikannya, akan ada kekeliruan berkenaan yang mana perlu diberi keutamaan, kerana dikhuatiri akan ada satu pihak mendapat perhatian lebih."

Disebabkan pertindihan ini, kedua-dua kumpulan tidak percaya keseriusan Putrajaya dalam menangani masalah mereka, katanya.

"Bumiputera Sabah, Sarawak, Orang Asal dan India yang miskin mempersoalkan sama ada RMK-11 benar-benar berkesan untuk mereka kerana mereka dikumpulkan bersama dengan kumpulan peniaga Melayu.

"Dan kelas peniaga Melayu juga berasa Putrajaya tidak melihat kepentingan mereka kerana berasa program mereka harus berasingan daripada Bumiputera miskin."

Beliau berkata pergabungan bersama kumpulan ini juga akan mengelakkan wujudnya kekeliruan di kalangan agensi-agensi yang ditugaskan untuk membantu mereka seperti kumpulan yang mempunyai keperluan berbeza.

"Golongan Orang Asal berpendapatan rendah mempunyai keperluan dan program sasaran berbeza daripada ahli perniagaan Melayu perlukan bagi mengembangkan operasinya.

"Kedua-dua perlu mempunyai dasar dan bahagian sendiri dalam RMK-11," katanya.

Inisiatif meningkatkan 40% pendapatan isi rumah terendah ini termasuk mewujudkan akses lebih baik kepada pendidikan lebih tinggi, meningkatkan produktiviti melalui teknologi moden dan mewujudkan usaha perniagaan mikro dan kecil.

Sementara itu, antara strategi untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan adalah dengan mewujudkan golongan profesional Bumiputera lebih bertauliah, membolehkan lebih ramai usahawan individu mengambil alih aset syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam hartanah lebih besar di lokasi strategik.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .