» » Dr M pertahan hak kebebasan bersuara TMJ


Putera Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhak mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana baginda juga ada hak kebebasan bersuara seperti rakyat kebanyakan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan memberi ruang setiap rakyat bebas bersuara dan tiada undang-undang yang melarang golongan diraja menyuarakan pendapatnya.

"Itu merupakan kebebasan bersuara yang dibenarkan kerajaan dan putera mahkota juga ada hak melainkan ada undang-undang yang mengatakan sebaliknya," katanya pada sidang media selepas program bicara "Dangerous Ideas" di Publika, Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz yang melarang Tunku Ismail campur tangan hal politik negara, katanya Ahli Parlimen Padang Rengas itu 'dibayar' untuk menyokong Najib.

"Dia mewakili pihak yang dibayar untuk menyokong beliau (Najib). Saya tidak membayar sesiapa tetapi apabila saya lihat blog dalam satu jam sejuta rakyat yang menyokong saya.

"Adakah saya bersendirian? Saya tidak rasa begitu," katanya.

Nazri dilaporkan memberi amaran kepada Tunku Ismail supaya menjauhi politik jika tidak mahu 'dibelasah' apabila mengkritik Najib yang tidak muncul dalam program "Nothing To Hide" bersama Mahathir minggu lalu.

Nazri dilaporkan berkata, keluarga diraja tertakluk dengan undang-undang dan kerajaan enggan bertanggungjawab sekiranya institusi itu dikritik kerana terlibat dalam politik.

“Raja-raja dan keluarga diraja ini berada di atas undang-undang (justeru tidak sepatutnya campur tangan dalam politik). Kalau dia (Tunku Ismail) mahu menjadi ahli politik, jadi dia perlu beritahu. Kemudian kita boleh menjawab balik.

"Jika kamu memegang jawatan penting sebagai keluarga diraja di negeri dan kamu mula mengulas (politik)... kalau kerajaan 'belasah' kamu balik, jangan marah," Nazri dilaporkan berkata.

Tunku Ismail pada 5 Jun lalu memuat naik status di laman Facebook 'Johor Southern Tigers' membidas Najib tidak muncul di khalayak umum menjawab persoalan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mahu menyembunyikan banyak perkara.

Komen itu dimuat naik baginda pada hari sama forum yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) SukaGuam itu dibatalkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar atas faktor keselamatan.

Hanya Dr Mahathir yang menghadiri forum tersebut dan menaiki pentas untuk berucap beberapa minit sebelum dihentikan polis.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .