» » BERSIH 2.0 terkejut tuduhan penyelewengan PRU13 ada kaitan dengan 1MDB


Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 hari ini melahirkan rasa terkejut apabila mengetahui dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) digunakan untuk membiayai kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mengatakan ini menunjukkan bagaimana pilihan raya itu "dicuri" daripada rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Bersih 2.0 menggesa Najib menyangkal dakwaan yang dibuat terhadapnya itu dalam laporan Wall Street Journal (WSJ) atau meletak jawatan.

Menurut WSJ, 1MDB yang sarat hutang menyokong secara tidak langsung kempen Najib dengan membeli aset tenaga daripada Genting Group pada 2012 pada harga 5 kali lebih mahal berbanding nilainya yang sebenar.

Genting didakwa menderma sebahagian daripada pendapatannya itu untuk sebuah yayasan yang dikawal Najib.

WSJ melaporkan, yayasan itu, Yayasan Rakyat 1Malaysia, kemudiannya mengumumkan beberapa projek amal yang dibangkitkan Najib kemudiannya ketika berkempen.

"Walaupun ditubuhkan untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik melalui pendidikan dan sukan, projek amal itu tidak lama kemudian terlibat dalam perbelanjaan yang kelihatannya direka untuk membantu Najib mengekalkan kuasa pada pilihan raya Mei 2013," kata WSJ.

Mengulas perkara itu, Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun berkata dakwaan WSJ itu tidak berasas.

Mengecam apa yang diistilahkannya sebagai satu manipulasi dana dalam PRU13, Bersih 2.0 berkata lebih mengejutkan apabila pembiayaan politik itu dikaitkan dengan 1MDB yang kontroversi dan pada ketika ini menjadi perhatian umum kerana hutangnya mencecah RM42 bilion.

"Ini benar-benar keterlaluan dan penyalahgunaan kuasa kerana taktik kotor tanpa malu digunakan untuk memanipulasi kepercayaan pengundi.

"Perdana menteri mesti menyangkal laporan ini atau meletakkan jawatan, jika tidak, dia kehilangan legitimasi untuk terus berkuasa," katanya.

Pergerakan itu menambah, pendedahan WSJ mengenai penggunaan 1MDB dan dananya yang tidak dipertanggungjawabkan seolah-olah membayangkan 1MDB boleh digunakan sebagai "slush fund" (dana yang digunakan untuk tujuan negatif) pilihan raya yang dikawal kerajaan .

"Ia juga menimbulkan persoalan sama ada ini hanya sedikit pendedahan daripada banyak lagi yang belum dibongkar.

"Adakah terdapat mana-mana lagi wang yang dikawal kerajaan yang digunakan untuk cara yang sama?"

Bersih 2.0 juga mendakwa, Suruhanjaya Pilihan Raya gagal memperkenalkan pembaharuan yang perlu untuk mengekang penyalahgunaan tidak terbatas dan rasuah.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .